Oleh : JAMES KAMIRON
"SAYA telah melaburkan sebanyak RM50,000 untuk main 'Forex' (perdagangan mata wang asing) ke atas nama syarikat Zeta Capital Management yang dikendalikan oleh seorang yang bernama Henry Jacob Borubui. Mereka memberi keyakinan kepada saya bahawa saya akan mendapat keuntungan yang banyak melalui perdagangan ini," kata seorang pelabur, Paul Ugau.
Apabila ada perjumpaan diadakan sama ada di Ranau, Kudat, Keningau, Papar, Kota Marudu, Paul akan datang untuk melihat mereka melakukan 'trading'. Setiap minggu Paul mendapat keuntungan berlipat ganda.
Ramai yang menyertai 'Forex' melalui Zeta Capital Management terutama pesara, guru, kakitangan kerajaan, peniaga dan petani kerana melihat pulangan yang diperolehi adalah besar.
Mereka melabur serendah RM3,500 yang ditukar ke US Dollar sebelum membuka akaun.
Para pelabur akan diminta untuk memberikan kad pengenalan, salinan bil elektrik atau air dan juga muka depan buku akaun dan juga salinan bayaran melalui akaun bernombor 0102012005575 atas nama syarikat iaitu Zeta Capital Management, di Ambank.
Sebaik sahaja pembayaran dilakukan, akaun yang baru dibuka akan dimainkan oleh individu yang dilantik oleh syarikat tersebut.
Ramai yang meraih keuntungan walaupun hanya dimainkan sekali seminggu. Namun ada masa tertentu pelabur akan kerugian.
Namun, permainan 'Forex' di bawah kendalian Henry Borubui dengan dibantu oleh orang-orangnya kini telah berhenti kerana didapati menyimpang dari carta perjalanan 'Forex' yang sebenar. Mereka telah menggubal sistem 'Forex' secara haram yang dikendalikan oleh mereka sendiri di luar pengetahuan pelabur.
Hasil risikan yang dibuat oleh Sabahkini.net terhadap orang yang bernama Henry Jacob Borubui mendapati penama ini menetap di Kampung Bantayan, bersebelahan dengan Kampung Minintod, Penampang. Kekayaan beliau boleh dinilai dengan memiliki beberapa buah kereta mewah termasuk Ninja King, BMW, Triton, CRV, Kereta Sport dan menjalani kehidupan hidup mewah; apatah lagi di usia muda 30-an beliau telah menjadi kaya raya.
Dari manakah Henry mendapat duit untuk membeli kemewahan ini? untuk memasuki pelaburan 'Forex' Zeta seseorang harus mempunyai RM3,500 sebagai pra syarat. Para pelabur biasanya melaburkan sehingga RM10,000 malahan ada yang melaburkan kesemua wang persaraannya untuk menggandakan wang yang ada. Para petani dan penoreh getah adalah di antara yang menyertai 'Forex' kerana tertarik dengan keuntungan segera yang mereka perolehi.
Ramai suami isteri bercerai berai disebabkan pelaburan 'Forex'. Ramai orang kehilangan kawan. Ramai kehilangan harga diri serta maruah. Ramai juga kehilangan rumah, tanah, harta benda, kereta disebabkan oleh 'Forex'.
Perdagangan 'Forex' haram ini telah menghancurkan masa hadapan ramai orang terutama pelabur, namun orang seperti Henry Jacob Borubui terus menerus menipu orang ramai tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.
Boleh dikatakan Henry Borubui telah mengumpul wang sehingga berpuluh juta. Jika kerajaan tidak mengekang dan memantau para pemain 'Forex' seperti Henry Borubui, maka lebih ramai lagi mangsa akan tertipu dan teraniaya.
'Forex' adalah perniagaan yang mempunyai pasang surutnya, namun para pemainnya mempunyai kecekapan untuk menilai pasaran. Kini Henry telah memindahkan wang pelabur ke akaun baru yang secara senyap tanpa pengetahuan para pelabur Zeta.
Seorang lagi individu yang dikatakan menjadi jutawan segera melalui 'Forex' ialah Andy Junis, dari Keningau, Sabah. Beliau berniaga 'Forex' atas nama Edgar International. Sebelum ini beliau bermain komoditi atas nama Zillion yang telah menyebabkan kerugian besar penduduk di Keningau.
Meskipun hidup secara sederhana di kampungnya, Andy memiliki kekayaaan luar biasa. Latarbelakang ibu bapanya hanya sebagai petani. Namun berbekalkan kebijaksanaan dan kecekapan yang dipelajarinya dari Henry Borubui, beliau menjadikan 'Forex' sebagai senjata untuk meraih pendapatan luar biasa.
Beliau menggalakkan ramai orang kampung menyertai 'Forex' dan jika mereka tidak memiliki wang yang cukup Andy bersedia menerima gadaian geran tanah.
Andy juga memiliki sebuah syarikat yang dinamakan Matanoi Group dan Eastern Rich. Syarikat ini pernah menaja satu acara peringatan Batu Sumpah sempena Hari Malaysia anjuran Pejabat Daerah Keningau pada tahun 2010 dan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ramai orang kenamaan menyertai pelaburan 'Forex' ini kerana orang kuat Andy Junis ialah seorang ahli politik yang bernama Rayner Udong yang telah membawa ramai orang melabur 'Forex'. Dikatakan beberapa wakil rakyat telah menyertai 'Forex' melalui Rayner.
Melalui orang kanannya, Albert Henry, yang juga memiliki kemewahan luar biasa, mereka sering ke luar negeri dan memiliki beberapa perniagaan di Sabah. Antaranya yang dikatakan ialah Andy dan Albert melalui Matanoi Group menyewakan sehingga 200 unit rumah kepada Kementerian Pertahanan Malaysia di Sepanggar, Kota Kinabalu.
Melalui Matanoi Group juga, kedua individu ini menjalankan perniagaan pelancongan, perkapalan dan di Keningau menyewakan jentera-jentera kepada kontraktor.
Dari manakah Matanoi Group mendapat wang untuk menjalankan perniagaannya? Wang yang digunakan Matanoi Group adalah hasil pengumpulan wang haram Andy dan Albart melalui perdagangan 'Forex' Edgar International secara penipuan terancang.
Para pelabur kebiasaannya akan merujuk kepada individu-individu (Henry, Andy, Albert) ini sama ada 'buy' atau 'sell' semasa bermain 'Forex'. Oleh kerana sistem (indicator) yang digunakan adalah dikawal oleh individu menggunakan sistem sendiri yang di 'upload'kan ke komputer pelabur; maka dengan mudah para pelabur akan ditipu oleh kelicikan permainan mereka.
"Dia akan suruh 'buy' tetapi kalau mengikut indicator antarabangsa sebenar ialah 'sell', namun kedudukan mereka tidak goncang sebab wang itu tidak kemana-mana, wang itu hanya beralih kepada mereka ini, penipuan ini sememangnya telah dirancang. Perdagangan itu dijalankan secara in house," kata Matthew, seorang pelabur yang geram disebabkan seorang dari 'Penyamun Tarbus' ini tidak menjawab telefon bagi beliau mendapatkan maklumat terkini pelaburan 'Forex' yang dibuatnya.
Malahan beliau reda dengan kehilangan RM7,000 yang telah dilaburkan meskipun tidak tahu ke mana lagi untuk mengesan para penyamun ini.
"Mereka akan katakan kepada pelabur, bahawa mereka silap membuat analisis terhadap pelaburan, tetapi sebenarnya itulah permainan mereka untuk mendapatkan duit orang secara haram," kata Matthew yang menggesa Bank Negara Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia bertindak segera telah ramai mangsa telah membuat laporan polis.
Apakah kerajaan terus menerus menghalalkan perbuatan para penyamun ini yang terus berterusan menipu dengan pelbagai cara termasuklah mengubah nama syarikat 'Forex' tanpa pengetahuan pelabur, atau kononnya berlaku gempa bumi, perang di luar negara yang sebenarnya langsung tidak bersangkut paut?
Adakah kerajaan terus menghalalkan penipuan terancang ini? Bagaimana dengan orang yang telah ditangkap pertengahan tahun yang dikaitkan dengan pelaburan 'Forex'? Adakah kerajaan tidak mempunyai cukup bukti untuk membawa para penyambun ini ke penjara? Kerajaan harus menyita harta mereka ini kerana cara harta itu diperoleh dari hasil penipuan terancang.
Atau benarkah individu-individu ini mempunyai hubungan di dalam sehingga mereka sukar ditangkap dan masih bebas ke sana sini berterusan menipu?
Laporan Daily Express mengenai individu berkaitan 'Forex' juga telah senyap sehingga kini? Adakah James Sarda telah dibeli oleh para penyamun ini?
Untuk makluman kepada mangsa, laporan polis boleh dibuat dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu boleh dijalankan. Dalam pada itu juga, siasatan juga akan dijalankan di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Bagaimanapun, tanpa adanya laporan daripada mangsa kepada pihak-pihak yang berwajib seperti pihak Polis dan aduan kepada Bank Negara Malaysia pihak berkuasa sukar untuk bertindak menjalankan siasatan. Atau menghantar aduan kepada Bank Negara ke Unit Penyiasatan Khas, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato' Onn, 50480 Kuala Lumpur. Faksimili: 03-26987467. E-mel: upkinfo@bnm.gov.my Sila juga hubungi di nombor telefon yang berikut: Tel.: 03-26915090/2698 4163/ 26910824/2692 6482.
Full content generated by Get Full RSS.