SEJAK bertugas sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sejak enam tahun lalu, Zubaidi Abas telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berterusan dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera di negeri ini. Sebagai seorang yang aktif, Zubaidi bersama pegawai dan kakitangannya di DBP Sabah telah mengelilingi dan merentasi hampir seluruh negeri untuk menyempurnakan tugas mereka mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan di Negeri di Bawah Bayu ini. Di celah-celah kesibukannya sebagai Ketua Jabatan, Zubaidi masih sempat menulis setiap minggu untuk ruangan Ujana DBP di Utusan Borneo.
Zubaidi Abas dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 10 April 1959. Sebelum bertugas sebagai Pengarah DBP Cawangan Sabah sejak 3 Januari 2005, beliau pernah bertugas sebagai Pengarah DBP Wilayah Selatan pada 2001-2004. Berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Zubaidi pernah memulis beratus-ratus makalah yang pernah disiarkan di akhbar dan majalah tanahair. Sejak makalahnya bertajuk "Isu-isu di Sebalik Perubahan Istilah tersiar di Berita Harian pada 12 Disember 1985, beliau terus menyumbangkan buah fikirannya kepada khalayak pembaca melalui tulisannya yang tersiar di Berita Harian, Jurnal Dewan Bahasa,Utusan Malaysia, Harian Tamil Osai,Thinamani,Mingguan Famili, Berita Peristilahan,MASSA,Pelita Bahasa, Jendela Selatan, Utusan Borneo, Etnik dan sebagainya. Beliau juga menulis kolum Ujana DBP dalam akhbar Utusan Borneo sejak 2008 hingga sekarang.
Wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin sempat menemui Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas (ZA) untuk menemubual beliau mengenai isu-isu sekitar bahasa dan sastera sambil minum pagi di Kantin DBP Cawangan Sabah di Teluk Likas pagi kelmarin.
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Saya nampak tuan kelihatan agak sibuk juga. Apa perancangan pihak tuan untuk menyemarakkan lagi kegiatan bahasa dan sastera kita?
ZUBAIDI ABAS: Tahun ini kita merancang untuk melaksanakan pelbagai kegiatan bahasa dan sastera. Antara yang terdekat ialah Perkampungan Sasterawan 2011 yang akan diadakan di Teluk Likas pada 18 dan 19 Jun ini. Perkampungan ini akan menghimpunkan penulis, sasterawan, budayawan dan aktivis sastera dari seluruh Sabah untuk berkampung di DBP Cawangan Sabah sebagai satu wadah untuk mempertemukan golongan sasterawan untuk mengadakan perbincangan dan percambahan minda untuk memartabatkan sastera tanahair. Selain itu kita merancang untuk mengadakan Pertandingan Lagu Puisi Berkumpulan, Konsert Perdana Lagu Puisi dan sebagainya. Kita juga mengadakan apresiasi sastera di setiap bulan, di setiap daerah di seluruh Sabah. Dengan cara ini kita dapat mendekatkan sastera kepada masyarakat.
UB: Sejak akhir-akhir ini, kegiatan sastera semakin rancak. Apa yang pihak tuan harapkan daripada program-program seperti ini?
ZA: Kita menggalakkan agar ada pertemuan, perbincangan dan percambahan minda di kalangan penulis, sasterawan, karyawan di negeri ini untuk memartabatkan lagi sastera kita. Sebab itu kita menganjurkan pelbagai kegiatan dalam usaha pengembangan dan pembinaan bahasa dan sastera. Kehadiran ramai penulis juga menunjukkan minat terhadap sastera di kalangan penulis dan aktivis sastera tidak pernah luntur.Tetapi kita mengadakan program itu untuk mengukur sejauhmana pencapaian kita, hala tuju kita. Apa sebenarnya yang kita cari? Semua ini memerlukan keterlibatan semua pihak, pengurus sastera, persatuan penulis, penulis, aktivis dan sebagainya.
UB: Dalam bidang bahasa, mungkin ramai juga yang ingin tahu mengenai sumbangan DBP Sabah. Boleh ceritakan sedikit mengenainya?
ZA: Program dan kegiatan bahasa dilaksanakan untuk memenuhi matlamat mengembangkan bahasa kebangsaan dan melestarikan bahasa sukuan di Sabah.
Antara yang telah kita laksanakan ialah pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN)2008 di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan Yang Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia.
Di peringkat negeri, kita mengadakan Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) pada setiap tahun.
UB: Bagaimana kaedah yang dijalankan DBP untuk meningkatkan citra bahasa kebangsaan di tempat awam?
ZA: DBP juga berusaha meningkatkan citra kebangsaan melalui pemaparan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul di tempat-tempat awam. Program ini melibatkan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Sabah.
UB: DBP juga terlibat dalam memartabatkan tulisan jawi?
ZA: Pengembangan tulisan jawi melalui pemaparannya pada papan tanda nama dilaksanakan di Lahad datu, Semporna, Sipitang, Beaufort, Kinabatangan dan Membakut.
UB: Bagaimana tentang jalinan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan?
ZA: Kita juga mengadakan Ziarah bahasa ke Pihak Berkuasa Tempatan di Seluruh Sabah untuk meningkatkan kerjasama khusus dalam pemaparan bahasa kebangsaan di tempat-tempat awam.
UB: Apa perkembangan mengenai pemetaan bahasa sukuan?
ZA: Pemetaan bahasa sukuan melalui Program Jejak Etnik untuk mengenal pasti tahap penguasaan dan penggunaan bahasa sukuan dalam kalangan penutur asli serta mengambil pelbagai langkah untuk melestarikannya. DBP Sabah juga menerbitkan penerbitan Glosari Budaya Tempatan sabah, Penerbitan Kamus Bahasa Sukuan Sabah.
UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai bengkel dan kursus bahasa anjuran DBP?
ZA: DBP Sabah juga menganjurkan bengkel, kursus dan ceramah bahasa untuk pelbagai golongan dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan pemahaman, penguasaan, dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anggota masyarakat.
UB: Bolehkah tuan ceritakan sedikit mengenai sumbangan DBP sabah dalam bidang sastera?
ZA: Program dan kegiatan sastera dilaksanakan untuk memenuhi matlamat memajukan bakat kesusasteraan, memantapkan kesusasteraan Melayu sebagai teras kesusasteraan kebangsaan, menjadikan kesusasteraan Melayu dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum, meningkatkan mutu penulisan kreatif dan memelihara sastera rakyat.
ZA: Antara kegiatan yang kita adakan ialah pementasan Teater Perdana sebagai pengisian Sambutan Hari jadi Rasmi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah, yang dijalankan setiap tahun sejak 2004.Kita juga pernah mengadakan malam Dondangan Kasih, dengan puisi tradisi pelbagai kaum untuk tontonan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Selain itu kita mengadakan Hadiah Sastera Sabah yang diadakan sebagai penghargaan kepada penulis Sabah dan sumbangan karya dalam pembangunan minda masyarakat. Sebelum itu, DBP Sabah pernah juga mengadakan Sendait Ria: Dendangan Puisi Tradisi selama 50 jam tanpa henti di Pitas. Acara yang menghimpunkan kira-kira 20 suku kaum di sabah ini telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai dendangan puisi tradisi tanpa henti yang paling lama pernah diadakan di negara ini.
UB: Wah, ini menarik ya. Seterusnya apa lagi kegiatan yang diadakan DBP Sabah dalam bidang Sastera?
ZA: DBP Sabah juga mengadakan Syair Ria: Dendangan Syair selama 50 jam tanpa henti di DBP cawangan Sabah. Acara yang melibatkan seluruh anggota masyarakat ini telah dicatatkan dalam Malaysia Book of records sebagai dendangan syair tanpa henti paling lama pernah diadakan di negara ini.
UB: Dalam bidang puisi, tak ada rekod?
ZA: Bacaan sajak dalam acara Puisi Ria selama 50 jam tanpa henti di DBP Cawangan Sabah juga mencatat rekod dalam Malaysia Book of Record sebagai acara bacaan sajak paling lama pernah diadakan di negara ini.
UB: Apa kegiatan lain DBP Sabah?
ZA: DBP Sabah juga mengadakan pengembangan teater di sabah melalui Program Anjung Apresiasi, mengadakan pengumpulan dan penerbitan cerita rakyat suku kaum di Sabah. Kita juga mengadakan bengkel dan kursus penulisan untuk pelbagai golongan sebagai usaha menggalakkan, mengembangkan dan memajukan minat, bakat dan semangat penulis di Sabah. Selain itu, DBP Sabah juga mengadakan ceramah dan apresiasi sastera di sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah.
UB: Mungkin baik juga kalau tuan ceritakan sedikit mengenai bidang penerbitan?
ZA: Kita telah menerbitkan lebih 350 buah buku hasil karya penulis Sabah dalam pelbagai bidang sama -ada kreatif dan bukan kreatif. DBP Sabah juga menerbitkan majalah Wadah, Etnik, karya serta Buletin Jendela Sabah untuk menampung karya penulis Sabah. Penerbitan majalah dan buletin ini sebagai usaha menggalakkan perkembangan pengkaryaan di Sabah.
UB: Bagaimana tentang kerjasama dengan pihak lain dalam mengembangkan bahasa dan sastera di Sabah?
ZA: DBP sentiasa berusaha meningkatkan dan memantapkan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan penulis, media cetak dan elektronik dan pertubuhan-pertubuhan lain di negeri ini.
UB: Kita beralih ke soalan lain. Apa yang menarik sepanjang perkhidmatan tuan sebagai Pengarah DBP Sabah sejak enam tahun lalu?
ZA: Saya merasakan suasana keakraban, suasana kemesraan yang tidak ada di negeri lain. Itu yang saya rasa seronok. Jika bertugas di kampung-kampung yang jauh, kita disambut dalam suasana akrab dan mesra. Kemesraan dan keakraban itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
UB: Apa harapan tuan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan?
ZA: Kita berharap sepertimana yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin agar setiap majlis-majlis rasmi yang bakal kita laksanakan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, harus menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Kita tahu kadang-kadang ada seminar antarabangsa yang dihadiri oleh seorang dua orang asing, kita gunakan bahasa Inggeris padahal kita boleh menggunakan bahasa Melayu.
Kalau boleh pemimpin-pemimpin negara dalam lawatan mereka ke luar negara juga menggunakan bahasa Melayu kerana biasanya ucapan mereka diterjemahkan oleh penterjemah. Pemimpin kita mestilah menunjukkan teladan yang baik.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.