Harian Ekspres
SEPERTI yang dirancang, orang kuat dan sebahagian artis yang terbabit dalam Album Kompilasi-Program Amal Artis Sabah (AK-PASS) berkunjung ke dua buah kampung di Papar untuk menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga di sana pada 7 April lalu.
Mereka yang terlibat dalam lawatan amal itu ialah penerbit album Nick Tudol serta penyanyi Rozza Rothman, Clarice John Matha, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh serta Clarice Sipanul dan wakil radio online SAPSAIFM, Ateh Wildan.
Artis lain dalam album itu tidak turut serta kerana terikat dengan komitmen lain.
Keluarga pertama yang mereka lawati ialah pasangan Korstin bin Tanggani dan Enjulin binti Gantawai di Kg Kopimpinan, Kawang, Papar.
Urusan mereka dipermudah dengan bantuan Micheal Mimis Jawani (wakil JKKK kampung itu), Bernadus Floditius serta James Tudol.
Mereka menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan dapur untuk keluarga itu.
Usai lawatan ke atas keluarga Korstin, mereka berkunjung pula ke Kampung Tanaki, juga di Kawang, Papar untuk menemui Mary @ Rose Nining, yang tinggal bersama bapanya.
Mereka turut menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada keluarga itu.
"Kami berbesar hati dan gembira kerana dapat menunaikan hasrat kami untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan menerusi hasil seni.
"Kami sedar, ia bukan satu jumlah sumbangan yang besar tapi sekurang-kurangnya ini adalah usaha ikhlas kami untuk membantu mengurangkan bebanan kedua-dua keluarga itu," kata Nick.
Kesal JKKK persenda kunjungan amal
Bagaimanapun, menurut Nick, lawatan amal mereka ke rumah Mary sedikit mengecewakan kerana tidak mendapat kerjasama daripada JKKK mahupun Ketua Kampung berkenaan.
"Kami sedikit terkilan kerana tidak mendapat kerjasama daripada mereka walaupun apa yang kami lakukan itu menjurus ke arah kebaikan untuk membantu salah seorang penduduk di kampung mereka.
"Kami sudah maklumkan kepada mereka tiga minggu sebelum tarikh lawatan itu tapi kami masih tidak mendapat kerjasama yang diharapkan," katanya.
Malah, menurut Nick, JKKK di kampung itu seperti mempersendakan kunjungan amal yang mereka lakukan.
"Kami tidak datang ke sana untuk menonjolkan diri sebagai artis tetapi sebagai insan yang prihatin kepada masyarakat yang perlu diberi bantuan mengikut kemampuan kami," katanya.
"Bagaimanapun, secara keseluruhannya lawatan amal AK-PAAS ke Kg Kopimpinan dan Tanaki di Kawang, Papar berjalan dengan lancar.
"Kami terharu apabila menerima ucapan terima kasih daripada kedua-dua penerima sumbangan amal itu. Menurut mereka, mereka sebenarnya terkejut apabila diberitahu mengenai kunjungan itu yang tidak disangka itu.
"Malah mereka tidak pernah menyangka adanya program amal seperti ini oleh artis-artis tempatan.
"Terima kasih kepada mereka yang telah membantu mempermudah urusan kami dan terima kasih juga kepada keluarga Korstin dan Mary kerana sudi menerima kunjungan kami," katanya.
Lawatan amal mereka seterusnya adalah pada 21 April ini di SPCAKK.
"Kami mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai atau mengenali keluarga yang wajar diberikan bantuan mengikut kemampuan kami agar menghubungi ahli-ahli AK-PAAS supaya kami dapat mengatur jadual lawatan amal," kata Nick sambil menambah, mereka tidak memilih bangsa dan agama penerima sumbangan itu.
"Asalkan orang tulen Sabah," katanya.
Wang untuk sumbangan itu diperolehi daripada hasil jualan Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah yang diterbitkan oleh Magus8 Entertainment dengan tujuan khusus untuk menggumpul dana.
Artis-artis tempatan yang menjayakan projek amal itu ialah Ebi Kornelis, Lydia Kalidin, Rozza Rothman, Clarice Sipanul, Syra Gom, Marcel Gatisi, Clarice John Matha, Ryna Tongkooh dan Esther Clement Tubong.
"Kami berharap orang ramai akan terus menyokong album ini agar kami dapat membantu meringankan beban lebih ramai rakan-rakan kita yang memerlukan.
"Bantulah kami untuk membantu mereka," kata Nick.