Kenyataan Ketua Polis Negara Orang ramai khususnya masyarakat di Sabah diminta tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan sejak semalam mengenai ancaman terkini di Lahad Datu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan desas-desus bahawa polis telah mengeluarkan arahan perintah berkurung atau 'curfew' di Lahad Datu adalah tidak benar sama sekali.
"Itu semua tidak benar. Jangan percaya dakyah yang cuba menakut-nakutkan masyarakat di Lahad Datu. Tidak ada apa yang berlaku, keadaan di sana adalah terkawal. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-8: Komunikasi Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Sambil menasihatkan penduduk supaya menjalankan aktiviti mereka seperti biasa, Khalid berkata anggota keselamatan memantau sebarang gerakan musuh di laut, darat dan udara.
Peristiwa pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu awal tahun ini mengorbankan 10 anggota keselamatan iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera.
Insiden pencerobohan itu membawa kepada peningkatan kawalan keselamatan terutama di pantai timur Sabah melibatkan pasukan keselamatan seperti ATM dan PDRM.