PENEMUAN batu yang dipercayai 'Batu Lagenda' dekat Kg. Kinarasan, terletak kira-kira 9.5 kilometer dari pekan Ranau, satu lagi daya tarikan orang ramai terutama para pengunjung dari luar daerah untuk datang ke Ranau.
Selain Taman Warisan Dunia, 'Taman Kinabalu', Taman Kolam Air Panas Poring, Rumah Panjang Resort Taman Sabah Teh Nalapak, Pusat Tagal Ikan Sungai Moroli Kg.Luanti Baru disamping keindahan alam semulajadi serta kehijauan dan kesegaran udara kawasan tanaman sayuran tanah tinggi Kundasang, penemuan 'Batu Lagenda' Kg.Kinarasan sebulan lepas, turut menggamit orang ramai untuk datang melihat sendiri keunikan batu-batan berbentuk haiwan, seperti babi, kerbau dan ada menyerupai badan gajah dan sebagainya.
Batu unik tersebut terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama Ranau-Tambunan setengah kilometer dari pusat kampung Kinarasan, di kawasan tanah geran milik seorang penduduk, Syeah Amran Bin Subin yang telah berusaha menggali atau mengorek batu itu selepas mendengar satu cerita (lagenda) daripada salah seorang warga emas dari Kg.Kinarasan.
Menurut Syeah Amran, golongan tua di kampung itu menceritakan metos atau lagenda yang berlaku di mana tempat batu itu dijumpai suatu ketika (ratusan tahun) dahulu, merupakan satu perkampungan, tetapi ditanggalkan selepas melihat bintang ternakan yang penduduk tambatkan di tiang rumah (bawah kulung rumah) pada suatu petang telah bertukar menjadi batu pada keesokannya selepas sekumpulan 'Bobolian' selesai membaca mentara dalam satu upacara penyembuhan wabak penyakit melanda penduduk di kawasan berkenaan ketika itu.
"Kini tidak ramai lagi yang mengetahui cerita sebenar berhubung lagenda batu ini, kerana mereka yang pernah menceritakan kepada kami dahulu berhubung lagenda itu, sudah meninggal dunia akibat sakit tua", jelas Syeah Amran, kepada penulis yang turut berkunjung dan merakam gambar kenangan keunikan bentuk Batu Lagenda itu.
Syeah Amran berhasrat menjadikan tempat itu sebagai satu lokasi tarikan bagi memberi ruang dan peluang kepada orang ramai sama ada para pengunjung dari dalam atau luar daerah untuk melihat sendiri keunikan batu itu dan penyediaan kemudahan kepada para pengunjung kini masih dalam proses penyiapan.
"Kita ada cadangan menjemput Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah yang juga ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun untuk datang menyaksikan keunikan batu ini seterusnya dibuka kepada orang ramai selepas siap semua kemudahan yang perlu", jelasnya.
Tinjaun penulis ke tempat itu kelmarin, mendapati kawasan persekitaran di mana batu itu dijumpai, terletak 100 meter dari jalan raya utama Ranau-Tambunan mengambil masa kira-kira 5 minit berjalan kaki menuruni cerun bukit melintasi hutan rimba serta celah-celah rumpun bambu sebelum sampai ke lokasi batu lagenda berkenaan. Hutan persekitarannya juga kaya dengan hidupan flora dan fauna.
Syeah Amran menasihatkan orang ramai yang berhasrat ke lokasi batu itu supaya lebih berhati-hati dan menjaga keselamatan terutama pada musim hujan kerana keadaan jalannya yang agak licin.
"Kita tidak membenarkan para pengunjung mengambil gambar (objek) batu tersebut atas sebab-sebab tertentu", tegas Syeah Amran sambil menasihatkan juga kepada para pengunjung supaya tidak menyentuh batu itu, dan tidak membuat bising sepanjang berada di kawasan itu, juga atas sebab-sebab tertentu.
Beberapa pengunjung yang sempat ditemui, menyifatkan batu itu adalah unik dan mereka mendakwa memang 'berpenghuni, (berpenunggu), namun tidak mengganggu sesiapa jika berniat baik untuk berkunjung ke tempat berkenaan.
"Ada kawan saya yang pernah merakam gambar batu itu menggunakan telefon bimbitnya….. tetapi alangkah terkejutnya dia apabila terpapar wajah budak ganjil, berbibir tebal dengan muka membonjol panjang…..namun tiba-tiba gambar muka budak itu hilang dalam skrin telefon", jelas salah seorang pengunjung yang enggan namanya disiarkan. Bagaimanapun, untuk lebih jelas penulis mempelawa orang ramai supaya datang memerhati dan menyaksikan sendiri keunikan bentuk batu itu.
Oleh: Jainudin Nasir Siaran Akhbar Utusan Borneo