KOTA MARUDU BAKAL JADI HAB EKONOMI UTARA SABAH
Bernama Media.
KOTA MARUDU, 11 Nov (Bernama) -- Pelbagai program pembangunan telah dilaksanakan untuk menjadikan Kota Marudu sebagai hab ekonomi utara Sabah, dan banyak lagi projek dalam perancangan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata mesti ada kesinambungan bagi pembangunan dan program transformasi yang dijalankan untuk manfaat rakyat.
Ongkili yang juga anggota Parlimen Kota Marudu berkata kerajaan telah memulakan rancangan pembangunan yang serius untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar dan usaha itu hanya berkesan dengan kesinambungan.
Ongkili berkata demikian pada majlis pelancaran Pesta Jagung Ke-12, yang dianjurkan setiap tahun di daerah itu untuk memperkenal dan mempromosikan jagung
dan produk pertanian lain oleh petani di Kota Marudu.
Katanya salah satu projek ekonomi utama yang dalam perancangan ialah projek akuakultur ternakan udang di Pitas, projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Katanya kilang itu yang akan mengeksport udang ke Korea, Jepun dan China, memerlukan 1,000 pekerja dan ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Marudu. Projek ini juga menggunakan jagung sebagai sumber protein untuk makanan, dan ini turut memberi satu lagi punca pendapatan bagi petani di daerah itu, katanya.
Ongkili berkata agensi di bawah kementeriannya, Technology Park Malaysia,juga telah membangunkan mesin perahan minyak kelapa dara yang boleh digunakan
oleh petani dan memulihkan industri kelapa di Kota Marudu.
Selain itu, terdapat juga rancangan untuk memperkenalkan pelbagai jenis jagung dari China untuk meningkatkan pengeluaran di Kota Marudu.
"Pertanian masih lagi menjadi ekonomi utama di Kota Marudu, yang menyumbangkan 70 peratus daripada aktiviti ekonomi dengan minyak sawit, getah dan padi adalah tiga produk pertanian utama.
Beliau berkata kerajaan prihatin tentang keperluan rakyat, termasuk keperluan penduduk luar bandar Kota Marudu yang menerima peruntukan RM230 juta untuk sistem retikulasi air bagi pelaksanaan pada 2011 dan 2012.
Selain itu, 18 kampung telah disambungkan kepada grid tenaga elektrik tahun ini.
Kota Marudu juga telah menyaksikan pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan sekolah dan projek jalan raya utama.
"Terdapat juga rancangan untuk mewujudkan laluan berkembar bagi Kota Marudu memandangkan jalan raya sekarang tidak lagi dapat menampung jumlah trafik yang meningkat di kawasan bandar. Pengambilalihan tanah untuk tujuan ini dijangka dibuat tahun depan," katanya.
"Inilah sebabnya mengapa kita memerlukan kesinambungan dalam pentadbiran supaya kita boleh memastikan matlamat kita untuk pembangunan dan transformasi yang kita perkenalkan akan terus dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kota Marudu akan bermula 15 Jan tahun depan.
Pelbagai aktiviti menarik sempena penganjuran Pesta Jagung itu diadakan dan turut membabitkan penyertaan orang ramai.
Ia termasuk pertandingan memasak makanan berasaskan jagung, persembahan kebudayaan, Ratu Jagung dan pertandingan fesyen, pertandingan melukis dan membaca, kraf tangan bertemakan jagung, pertandingan tanglung dan sukan tradisional seperti tarik tali.
Turut diadakan gerai pameran oleh agensi kerajaan dan sektor swasta.
-- BERNAMA
NT ZUB KLS
SUMBER: Bernama