Oleh Staf FMT
PETALING JAYA: Gara-gara berbeza sokongan terhadap dua calon timbalan presiden Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim, Ketua cabang Kota Merudu Anthony Mandiau didakwa membuat kacau dengan menyimpan kertas senarai pencalonan pengundian di cabang Kudat sehingga pengundian sedikit tergendala pagi tadi.
FMT difahamkan cabang Kudat menyokong Zaid Ibrahim manakala di Kota Marudu lebih kepada Azmin Ali dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden.
Menurut ketua cabang Kudat Mursalim Tanjul, Anthony yang didakwa 'tukang kempen' Azmin bertindak dengan mengambil dokumen (kertas senarai pencalonan) daripada petugas ekoran sokongan di cabangnya berbeza di Kota Merudu.
"Ada petugas daripada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) maklumkan kepada saya Anthony buat kacau. Dokumen senarai calon itu diambil oleh Anthony daripada petugas. Saya difahamkan perkara itu timbul kerana sokongan di Kudat tidak selari dengan cabang Kota Marudu. Kami di Kudat menyokong penuh Zaid Ibrahim, mereka beri sokongan kepada Azmin.
"Saya hubungi beliau (Anthony) agar jangan buat kacau dan maklumkan agar segera beredar daripada pusat pengundian. Saya tidak mahu dia buat kecoh," katanya ketika dihubungi FMT.
Dalam pada itu, Anthony ketika dihubungi mengakui bertindak sedemikian atas beberapa sebab yang munasabah.
Anthony berkata melalui peraturan pemilihan, kertas senarai pencalonan sepatutnya tidak disimpan oleh pengawas.
Maka beliau bertindak mengambil dan menyimpan dokumen itu agar pemilihan di cabang kudat berlaku dengan telus.
"Saya menafikan saya buat kecoh di cabang Kudat. Sebaliknya jika dilihat dalam peraturan pemilihan kertas senarai calon tidak boleh disimpan oleh pengawas. Saya ambil dokumen dan simpan, saya tidak buang. Dokumen ini masih ditangan saya," jelasnya.
Beliau tidak menafikan kehadirannya di Kudat untuk berkempen bagi Azmin Ali.
"Saya datang ke Kudat berkempen untuk Azmin Ali. Mereka tidak mahu saya berkempen di sana dan saya dihalau. Niat saya bukan mahu buat kacau seperti yang didakwa," katanya.
Dalam pada itu, cabang Kota Marudu dijangka membuat pemilihan esok (ahad).