KENINGAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad mengulangi sejarah ayahandanya dengan mengunjungi Rumah Besar, kediaman OKK Sedomon Gunsanad, pemimpin pribumi terkenal di kawasan pedalaman di pekan Bingkor, di sini.
Rumah besar itu pernah menjadi tempat penginapan ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1963 ketika beliau berkunjung ke Keningau untuk memberi penjelasan tentang cadangan penubuhan Malaysia kepada ketua kaum pribumi di kawasan Keningau, Tambunan, Pensiangan, Nabawan, Sook, Ranau dan Tenom.
Najib bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman tiba di kediaman itu pada 9.15 pagi disambut anak kelima Sedomon, Ricky Sedomon dan Advisor Council of Elders Datuk Ayub Aman.
Beliau melawat galeri pameran keluarga di sekitar kediaman dua tingkat itu termasuk di ruang legar beranda di bahagian atas yang pernah menjadi tempat Tun Razak mengadakan perbincangan bersama Sedomon.
Ricky yang juga Pengerusi Penganjur Hari Keluarga dan Pesta Kaamatan Keluarga Aki Kina dan Aki Gong ketika ditemui pemberita melahirkan rasa bertuah terhadap kunjungan pemimpin nombor satu negara itu yang mengulangi kunjungan ayahandanya hampir 50 tahun lepas.
"Saya sangat beruntung dan berbangga Perdana Menteri melawat kediaman keluarga kami ini selepas ayahanda beliau datang selepas 50 tahun (pada 1963).
Pada masa itu, saya yang berusia lapan tahun masih ingat siapa kawasan di sini (pekan Bingkor) dipenuhi dengan pokok-pokok besar…cuba bayangkan persekitaran itu dengan sekarang.
Saya tidak tahu siapa yang melawat kami pada masa itu dan apabila sudah besar sedikit baru saya tahu siapa yang datang (Tun Razak) untuk berbincang dengan beliau (bapa) saya," katanya.
Ketika menceritakan mengenai perbincangan yang berlangsung sepanjang lawatan itu, beliau berkata, Najib diberi taklimat oleh Ayub mengenai salasilah dan sejarah keluarga itu termasuk melihat sendiri gambar kenangan ayahandanya mengunjungi Bingkor.
Katanya, Najib turut mengagumi keluarga besar Sedomon yang masih memelihara ikatan kekeluargaaan yang erat dan sempat berpesan kepadanya agar 'kita kekalkan hubungan ini'.
Ricky berharap Perdana Menteri seterusnya akan mempunyai sikap seperti Najib yang akan berkunjung ke kediaman itu yang tetap kekal diuruskan dengan baik oleh generasi masa depan.
Sebelum meninggalkan kediaman itu, Najib memukul gong sebanyak tujuh kali sebagai tanda perasmian Hari Keluarga dan Pesta Kaamatan keluarga itu yang dihadiri kira-kira 500 sanak-saudara yang memakai baju T hitam 'I love PM" termasuk penduduk sekitar. - BERNAMA