Mohd Riduan bin Khairi
Pekan Nabalu, tiada siapa mengenalnya melainkan sebuah pekan koboi di kaki Gunung Kinabalu. Di mata sebahagian orang, Sabah hanyalah sebuah negeri menyimpan sebuah gunung tertinggi di Asia Tenggara. Yang ada hanya pokok dan hutan! Kalau sebut negeri Sabah, ia tidak lebih dari himpunan sebuah kompleks/ kampung budaya dengan rumah panjang, rumah di atas laut dan rumah di atas pokok. Dikisahkan pula seorang rakan ketika di kampus universiti dahulu bercucuran air mata ketika berkenalan dengan seorang pelajar dari Sabah. Sangkaannya rakyat Sabah masih lagi tinggal di atas pokok!
Hanya sahaja nama Sabah menjadi perhatian nasional dan dunia apabila dua ahli politik veteran mereka melompat parti. Pada sebahagian orang lompatnya Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Lajim bin Ukin sesuatu fenomena dan mengejutkan. Namun tanyakan pada rakyat kebanyakan di Sabah, hal sedemikian adalah suatu yang lumrah dan biasa.
Hambar dan tidak berperasaan. Itulah rasanya ketika mula-mula saya menerima tugasan menerajui sebuah projek dan khidmat di Kepulaun Borneo khususnya di negeri Sabah dan Sarawak. Seperti tugasan-tugasan sebelum ini bermula dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi Johor sehinggalah ke Kampung Tengku Abdul Rahman Petra, Dabong Kelantan, perasaan saya hanya teruja untuk menerima cabaran dan pengalaman baharu. Itu sahaja.
Saya pernah bertugas menaiki bot penambang di Tanjung Surat sebelum dijemput menaiki motosikal menuju ke lokasi bertugas. Justeru menerima tugasan baharu ke Sabah pada saya hanya sekadar nilai tambah dari segugus pengalaman yang sudah ditimba. Itulah segugus sangkaan demi sangkaan yang berbekas di dalam fikiran orang-orang seperti saya yang tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu ini. Sehinggalah tanggal 7 Julai, atas izin Allah takdir-Nya buat pertama kali saya menjejakkan kaki ke negeri yang layak digelar 'syurga dunia' ini.
Subhanallah, ketibaan di sana disambut dengan deburan ombak yang masih mulus, putih dan bersih. Rupanya landasan kapal terbang benar-benar bersandar dengan gigi-gigi pantai. Dan pantainya masih bersih dan jernih, tidak seperti kebanyakan pantai di tempat lain yang keruh dan tercemar.
Di sebalik kisah dusta dan keterlaluan akan kemunduran negeri Sabah, sebenarnya Sabah merupakan negeri yang memiliki jaringan pengangkutan yang terbaik dan efisyen. Memang sistem jalanrayanya masih sederhana, tapi jangan lupa jaringan pengangkutan udara dan lautnya yang antara yang terbaik. Air Asia sahaja sudah mendarat di Sandakan dan Tawau selain Kota Kinabalu. Sebutkan negeri mana di semenanjung yang menerima layanan korporat sedemikian rupa!
Saya sempat sampai ke Kundasang dan Semporna, sambil melawat beberapa pulau terindah di Malaysia; Mabul dan Kapalai. Sayang sekali Pulau Sipadan tidak dapat saya lawati lantaran pelancong asing terlebih dahulu menempah permit dan disahkan penuh sehingga hujung tahun!
Maka tidak hairanlah seorang pelancong Portugal menceritakan bahawa dia sanggup menjual rumahnya semata-mata untuk datang ke Sabah dan Kepulauan Borneo. Sungguh-sungguh beliau menceritakan dalam kedinginan musim sejuk di atas kapal pelancongan Ha Long Bay, Vietnam. Jelas beliau, amat beruntung saya menjadi rakyat Malaysia yang dikelilingi 'syurga' yang diidam-idamkan seantero Eropah.
Kata orang-orang tempatan, pembangunan pesat berlaku pada era YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman. Ternyata penamatan sistem penggiliran Ketua Menteri memberikan hasil dan rahmat yang besar kepada rakyat Sabah.
Ada juga beberapa pihak yang tidak cerdik dan kurang cerdas akalnya apabila mebandingkan fasiliti di Sabah dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Amatlah tidak adil membandingkan ayam dan itik, epal dan oren.
Meskipun perhubungan darat terbatas, namun Sabah dilengkapi dengan perhubungan laut dan udara yang paling ke hadapan. Sebutkan negeri manakah di semenanjung yang mempunyai lapangan terbang di setiap bandar utamanya. Di Sabah, setiap bandar utamanya baik Labuan, Sandakan, Lahad Datu; semuanya memiliki lapangan terbang dan pelabuhan.
Sementelahan pula luas negeri Sabah melebihi 3 negeri yang paling besar di Semenanjung yakni Johor, Pahang dan Perak. Bahkan jika dihitung luas negeri Sabah melebihi luas separuh tanah di Semenanjung. Justeru kerajaan negeri Sabah memikul beban lebih banyak berkali-kali ganda berbanding kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung.
Itu belum dikira jumlah penduduk antara yang teramai dengan variasi suku, agama dan budaya. Ditambah kerajaan negeri Sabah mengawal sempadan antarabangsa meliputi ribuan km pantai yang mengelilingi negerinya.
Namun pujian 'thumbs up' harus diberikan kepada kepimpinan DS Musa Aman atas kejayaan mengurus kewangan dan perbelanjaan negeri. Dilaporkan negeri Sabah memiliki rezab dan pengurusan kewangan antara yang terbaik di Malaysia. Demikian seperti yang dijelaskan oleh Datuk Ibrahim bin Saad, Pengarah Biro Tatanegara negeri Sabah.
Yang Berbahagia Pengarah BTN memberikan kesempatan yang lumayan lagi mewah kepada saya dan rakan setugas untuk menyertai meninjau seluruh daerah di negeri Sabah melalui Konvoi Merdeka 2012.
Dari Kalabakan, kami merentasi gunung, lembah dan laut melewati Semporna, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran, Pitas, Kota Marudu, Tamparuli, Ranau, Tambunan, Tenom, Sipitang, Beaufort, Labuan, Membakut dan kembali ke Kota Kinabalu. Syukur dan rasa bertuah kerana tidak sampai satu bulan menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu ini, kami sudah diberi rezeki oleh Allah untuk menjelajah ke seluruh pelusuk negeri ini.
Terbantahlah segala tuduhan dan fintah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang yang tidak pernah sudah-sudah memburuk-burukkan pihak kerajaan. Kalau itu yang dijadikan isu, saya percaya isu itu lebih besar di Kelantan. Beberapa kali kereta saya nyaris terbabas di Dabong kerana tanah runtuh yang tidak dibaiki dan lohong-lohong besar di sepanjang jalan raya menuju Gunung Stong! Beberapa kali juga kenderaan saya hampir terjongket menyelusuri jalan berliku di Ijok. Itu namanya negeri berstatus maju?
Alhamdulillah, sampainya saya dan pasukan Sekretariat Ilmuan Malaysia(iLMU) memberi lembaran baharu dalam perjalanan dakwah kami. Sambutan masyarakat Sabah terhadap agama Islam amat subur dan menggalakkan. Setiap hari ada sahaja berita orang memeluk Islam, baik secara peribadi mahupun berkumpulan.
Demi menyokong usaha murni ini pihak Sekretariat Ilmuan Malaysia(iLMU) di bawah Biro Tasfiyah dan Tarbiyah menubuhkan "Skuad Iman Sabah". Skuad ini akan menjalankan kerja-kerja promosi keindahan ajaran Islam. Dalam masa yang sama skuad ini memperkenalkan prinsip-prinsip Islam yang tulen di atas mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah . Ini sebagai usaha preventif (pencegahan) dari ajaran sesat yang semakin berkembang di seluruh dunia termasuk Syiah, Qadiyani, Hizbut Tahrir, Liberalisme, Pluralisme, Rufaqa' (sebelum ini dikenali sebagai al-Arqam), dan kelompok yang terpengaruh dengan mazhab sesat khawarij.
Penulis adalah Ketua Biro Penerbitan Sekretariat iLMU
Siaran akhbar Isnin 22 Oktober 2012
Komen atau kongsikan pendapat anda:
Artikel lain yang berkaitan: