Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah telah berakhir dengan 14 terbunuh dan tiga cedera selepas pasukan keselamatan bertempur dengan penceroboh bersenjata, polis sahkan hari ini.
The Star Online melaporkan polis berkata perintah berkurung telah dilaksanakan di bandar Lahad Datu dan kawasan sekitarnya sejak jam 4 petang.
Dua belas anggota penceroboh Filipina dan dua Komando Polis Malaysia terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Dua komando yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud.
Tiga anggota polis Malaysia turut tercedera, Jumlah anggota penceroboh tersebut yang tercedera masih belum diketahui..
Manakala seorang daripada tiga cedera itu dalam keadaan kritikal, dan mereka sedang dirawat di hospital.
Mereka adalah dari VAT69, unit komando elit polis yang ditugaskan membanteras komunis, dan kemudiannya ditugaskan untuk gerakan anti-keganasan dan menjalankan operasi khas.
Meskipun negara kelihatan berlembut dengan mereka dalam hal ini dan pemimpin negara mengambil mudah hukum-hukum Islam, namun ketahuilah apa yang dilakukan oleh negara dalam berhadapan situasi ini adalah selaras dengan syarat-syarat peperangan dalam Islam..
Antaranya ialah musuh harus diberi amaran supaya mereka mempunyai masa untuk memindahkan anak-anak, orang tua, kaum wanita dan orang sakit ke tempat selamat sebelum sesebuah angkatan tentera (Islam) menyerang.
Musuh diberi peluang untuk berunding, diberi kata dua untuk berundur atau bertaubat, jika masih berdegil barulah serangan dimulakan.
Tahanan perang pula diberi layanan yang baik, maruah mereka tidak dijatuhkan dan mayat-mayat yang gugur diberi masa dan ruang untuk disempurnakan.
Namun begitu persoalan asas masih belum terjawab... bagaimana mereka boleh bolos dengan begitu mudah?
Sedangkan menurut Bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada TLDM, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid perairan negara dikawal empat agensi penguatkuasa iaitu Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kastan Diraja Malaysia dan TLDM.
"Kita ada 'Operasi Pasir Laut' antara tentera dan polis. Tak malukah tentera sudah jaga, orang lain boleh masuk?" katanya.
Ops Pasir Laut ialah operasi keselamatan perairan dan kepulauan pantai utara dan timur Sabah oleh Markas Angkatan Bersama (MAB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ops Pasir Laut dikawal selia Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) dengan kelengkapan pesawat tanpa juruterbang (UAV), bot tempur kapal peronda ATB dan helikopter Nuri.
Antara peralatan canggih ditempatkan sepanjang 'laluan panas' ialah 12 radar dengan kemampuan mengesan pergerakan kapal mahupun bot kecil pada jarak 100 kilometer.
Kawasan seliaan MAB meliputi 22 pulau dan 11 pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau hingga Kudat.
Pandangan itu turut dipersetujui bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid.
Bagaimana mereka boleh melepasi empat agensi penguatkuasa iaitu Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kastan Diraja Malaysia dan TLDM.?
Bagaimana mereka gagal dikesan oleh 12 radar dengan kemampuan mengesan pergerakan kapal mahupun bot kecil pada jarak 100 kilometer?
Bagaimana mereka boleh lepas dari Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) dengan kelengkapan pesawat tanpa juruterbang (UAV), bot tempur kapal peronda ATB dan helikopter Nuri?
Dan adakah benar TLDM gagal mengesan kehadiran mereka sedangkan pengkalan Kapal Selam negara berada di Teluk Perairan itu???
Dan bagi persoalan mengapa Polis bukannya Angkatan Tentera Malaysia yang bertindak pula, ini jawapannya...
Pasukan tentera hanya boleh mengusir pengikut Kesultanan Sulu di Lahad Datu di Sabah ini jika mendapat arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Huseein atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tanpa arahan tersebut tentera tidak boleh campur tangan dalam isu Kesultanan Sulu menurut Bekas Leftenan General Datuk Seri Zaini Mohd Said yang menerajui Ops Subuh untuk menyerbu Al-Ma'unah pada 2000..
Ini Kenyataan Media dari SAMMyang mempersoalkan di manakah kelengkapan negara dengan perbelanjaan duit rakyat yang berbilion..
Kenyataan Media 1 Mac 2013Insiden Lahad Datu: Rakyat Harus Tolak Kerajaan Lemah Segala Bidang
Pertempuran darah yang berlaku di Lahad Datu yang menyebabkan kematian dua komando PDRM adalah kemuncak 'kelemahan' kerajaan yang dipimpin oleh Umno Barisan Nasional. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak keras Najib Razak (PM) dan Sepupunya Hishamuddin Hussin (KDN) bertanggungjawab sepenuhnya di atas dua anggota polis yang terkorban setakat ini dan akan datang.
SAMM juga mengucapkan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban, SAMM yakin ia adalah pengorbanan yang suci terhadap tanahair, agama dan bangsa. Namun malangnya perkara sedih ini tidak wajar berlaku sekiranya pihak kerajaan Malaysia mengendali konflik ini dengan tepat. Apakah setelah berlaku dua kematian maka baru kerajaan nak bertindak?
Persoalan utama yang timbul di sini ialah mengapa kerajaan Malaysia terlalu lambat mengambil tindakkan, dan teragak-agak sehingga menyebabkan insiden kematian anggota keselamatan negara? Tawaran yang diberikan juga tidak melambangkan ketegasan, sehingga beberapa kali menukar tarikh tamat tempoh yang diberi kepada penceroboh bersenjata. Akibat daripada tiada ketegasan mutlak, negara berdepan lebih banyak kematian malah tidak mustahil orang awam bakal menjadi mangsa.
Seterusnya SAMM tetap mempersoalkan bagaimana kumpulan bersenjata ini boleh mendarat di Pantai Tg Labian, mara jauh ke Kg Tandou dan berkampung di sana. Mereka menyusup berjalan kaki dengan skala yang sebesar ratusan askar malah Malah menurut Philippine Daily Inquirer memetik Danny Virtudazo (Pimpinan Kanan Negeri Palawan) berkata. beberapa bot telah mendarat di Sabah dengan seramai kira-kira 1,500 lelaki, tetapi pihak berkuasa Malaysia tidak tahu di mana mereka berada. Bagaimana ini tidak dapat dikesan? Atau ia sebenarnya sandiwara untuk simpati pilihanraya?
SAMM juga persoal di manakah kelengkapan negara dengan perbelanjaan duit rakyat yang berbilion itu? Kehilangan nyawa tetap berlaku terhadap rakyat negara ini walaupun telah ratus bilion dihabiskan oleh Kementerian Pertahanan. Sudah lengkap bersenjata, tetapi gagal menafsir keputusan tepat ketika waktu genting satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
Cukuplah, cukuplah mandat buat Barisan Nasional. Najib Razak membuktikan dialah Perdana Menteri paling konsisten kadar penakutnya. Apakah rakyat mahu si penakut yang kurang bijak lagi penindas rakyat terus menerajui negara?
Sekian,
che'GuBard
Ketua Penyelaras SAMM
www.anakmudamalaysia.com
email: samm4anakmuda@gmail.com
Berikut pula kenyataan media dari AMK yang mengecam sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan rakyat..
Angkatan Muda Keadilan Malaysia1 Mac 2013
Tragedi Lahad Datu: Kegagalan Kerajaan Membahayakan Keselamatan Negara
Angkatan Muda Keadilan Malaysia merasa begitu pilu apabila mendapat khabar dua anggota perajurit kita, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin dari Unit 69 Komando telah tewas dalam satu pertempuran di Lahad Datu dalam satu insiden atau lebih layak dipanggil drama apabila sekumpulan lelaki bersenjata kononnya daripada Kesultanan Sulu menuntut hak mereka dan mengepung sebuah kampung bernama Kampung Taduo.
AMK Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang terancang semata-mata untuk memastikan sesetengah pihak terus memegang tampuk kekuasaan di negara yang tercinta ini. Tragedi Lahad Datu tidak lebih kurang plotnya berbanding insisden Sauk dan Memali yang pernah terjadi, menjelang beberapa siri pilihanraya yang kelihatan tidak memihak kepada pemerintah.
AMK Malaysia juga mengecam sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan rakyat, dan dalam kes ini jelas sentimen ketakutan itu cuba dicetuskan kepada masyarakat Sabah, diambang mereka kelihatan begitu bersedia bagi menamatkan badi pemerintahan Barisan Nasional yang jelas tidak mampu sama sekali membawa arus perubahan ke negeri di bawah bayu itu.
AMK Malaysia mempersoalkan yang pertama sekali bagaimana sekumpulan lelaki ini dapat mendarat di Lahad Datu, di sebalik kononnya gah buah kapal selam Scorpene menjaga perairan kita di Laut China Selatan? Adakah mereka ini begitu hebat hingga gagal dikesan oleh kapal selam canggih ini? Atau adakah unit peronda marin kita juga gagal melaksanakan tugas dengan baik?
Atau sebenarnya semua unit keselamatan pertahanan negara ini diarahkan memberi 'laluan' kepada kumpulan lelaki bersenjata ini?
AMK Malaysia juga mempersoalkan kenapa sepanjang lebih tiga minggu tragedi ini berlangsung, tidak ada sebarang maklumat tepat yang diperolehi oleh rakyat Malaysia atau sebarang kenyataan rasmi yang meyakinkan daripada kerajaan sehingga pelbagai spekulasi dilakukan di media sosial.
Adakah keadaan ini dibiarkan berlaku bagi membina tekanan minda terhadap masyarakat Sabah khasnya , dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk mengalihkan isu sebenar di sebalik kepulangan PI Bala untuk isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan juga pembentangan Manifesto Rakyat oleh Pakatan Rakyat yang jelas menggoyahkan Barisan Nasional.
AMK Malaysia juga mengecam tindakan kerajaan yang terlalu berlembut dengan kumpulan bersenjata ini, sehingga mereka boleh dibiarkan bertahan berminggu-minggu di dalam kedaulatan wilayah kita sendiri. Keadaan ini jelas berbeza apabila Kementerian Dalam Negeri dalam sikapnya menangani isu tempatan seperti siri demonstratsi Bersih dan sebagainya.
AMK Malaysia percaya jiwa yang terkorban ini, samada dua perajurit kita dan juga dari pihak Sulu ini boleh dielakkan jika langkah-langkah bijak dilakukan segera serta penuh berani. Rundingan yang dicanang-canang akhirnya tetap mengorbankan nyawa manusia sebagai bukti Barisan Nasional sebagai kerajaan gagal untuk menangani masalah dengan baik.
AMK Malaysia mengucapkan takziah kepada dua perwira yang terkorban dalam tragedi Lahad Datu ini, dan meminta seluruh anggota Angkatan Muda Keadilan yang beragama Islam memberi sedekah Al-Fatihah kepada wira negara ini. Dua perwira ini haruslah disemadikan dengan penuh istiadat ketenteraan dan penghormatan negara. Keluarga mereka juga haruslah terus dibela dan diberi bantuan yang secukupnya sebagai menghargai pengorbanan dua perwira ini.
AZMIZAM ZAMAN HURI
Naib Ketua AMK Malaysia