Sewaktu minum pagi di restoran berhadapan Pasar Umum Sandakan, Sabah, saya didatangi oleh pembantu kenderaan mengangkut barangan.
"Siapakah penjual rokok seludup itu?," soal saya.
"Warga negara jiran, Filipina, suku kaum Suluk dan Bajau," balasnya.
Tambah Nelson, dipercayai mereka bermastautin di Sandakan tanpa dokumen perjalanan sah. Dalam bahasa mudah, mereka pendatang haram. Selepas bersalaman, dia beredar. Selesai minun pagi, saya mula merakamkan gambar kegiatan penjualan rokok seludup di Jalan 1 dan di kawasan sekitar.
Saya terlihat seorang anak muda membeli rokok daripada lelaki di atas dan pantas menghampirinya. Kata pembeli itu, rokok berjenama L.A dijual dengan harga RM5 sekotak.
Sumber berkredibiliti saya, penduduk Sandakan, 'Nelson' bukan nama sebenar, saya hubungi.
"Saya difahamkan, terdapat stor di kawasan berhampiran, penjual mendapatkan bekalan pelbagai jenis rokok di situ. Kalau sekatun rokok L.A dijual di antara RM30 dan RM35. Taukeh besar, Suluk. Purata 70 peniaga rokok seludup beroperasi di sekitar bandar Sandakan setiap hari, lelaki dan wanita. Mereka berniaga 24 jam, cuma bilangan peniaga berkurangan pada waktu malam," ujarnya.
"Pihak berkuasa, kastam, polis dan imigresen tidak menjalankan operasi memberkas peniaga?," soal saya.
"Ada juga tetapi melalui pengamatan saya, mereka hanya menahan peniaga rokok seludup kecil-kecilan, bukan taukeh. Ikan bilis ditangkap, jerung tetap bebas meraih keuntungan. Saya melihat, pihak berkuasa terus diperlekehkan secara terang-terangan," tambah Nelson.
Sebaik menyedari gambar dirakamkan, mereka semua menghilangkan diri, bersembunyi di celah deretan kedai.
Melihat senario penjualan rokok seludup secara terbuka, terfikir, tidak logik jika Ketua Polis Daerah Sandakan dan pegawai Kastam Diraja Malaysia bertugas di bandar itu tidak menyedari aktiviti terlarang terbabit.
Mustahil.
Berikut gambar saya rakamkan berhampiran pusat membeli-belah, Genting Mas Mall.
Saya dimaklumkan, kegiatan penjualan rokok seludup berlarutan sejak 20 tahun lalu. Telur penyu juga ditawarkan kepada pelanggan di tepi jalan, biarpun bahan itu terlarang di Malaysia.
Isyarat 'OK', menunjukkan telur penyu dijual di lokasi itu.
Pihak berkuasa, wajib memberhentikan kegiatan penjualan rokok seludup dan telur penyu dengan kadar segera. Tidak perlu terus mengizinkan undang-undang diperlekehkan oleh warga asing di hadapan mata sendiri. Masyarakat tentunya melihat dan sebilangan barangkali mencetuskan tanggapan negatif terhadap pihak berkuasa.
Tentunya, bukan tanggapan sebegitu diinginkan.