Ini suasana yang sempat saya rakamkan pada selesai solat zuhur di Masjid Negeri Sabah tengahari tadi. Lebih 3/4 kawasan dewan utama dipenuhi para jamaah khususnya para penjawat awam. Pemerhatian saya sebenarnya, kehadiran umat Islam menyertai solat zuhur berjamaah di Masjid Negeri Sabah semakin meningkat saban tahun. Pada zuhur luar Ramadhan, tidak kurang 300-400 jamaah yang hadir,  tanpa mengira kumpulan-kumpulan yang solat di aras bawah bertali arus selepas jam 1 tengahari.

Selepas kehadiran hampir 1000 jamaah pada zuhur Ramadhan di aras utama (juga tidak mengambil kira mereka yang solat di aras bawah @ masbuq), saya meyakini bahawa kehadiran jamaah zuhur selepas Ramadhan adalah semakin meningkat jika dibandingkan sebelum Ramadhan. Semoga suasana ini berterusan dan usaha-usaha memberi kefahaman tentang tuntutan solat fadhu dan solat berjamaah akan disampaikan kepada umat Islam yang lain. Sudah tentu ia tanggungjawab semua orang.

Dari satu sisi, Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah turut menganjurkan 'Tazkirah Ramadhan' selepas solat zuhur pada setiap hari (kecuali jumaat) membabitkan pendakwah dan penceramah terpilih yang membincangkan pelbagai topik termasuk masalah hukum hakam, aqidah, sirah, tasawuf, tokoh ulama dan sebagainya (bukan hanya berkisar topik puasa sahaja). Semoga ia bermanfaat untuk kita semua.