"Di pekan kami ni, ada bangunan 'a famosa'," gurau seorang kawan sembang.

Kenapa 'a famosa'? tanya saya kehairanan.

Rupanya dia merujuk kepada sederet bangunan asrama putera Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pekan Kunak, yang musnah terbakar. Saya turut mendapat maklum akan kejadian itu melalui facebook, seingat saya di penghujung Ramadhan lepas. Kawan-kawan yang prihatin menyebarluaskan maklumat kebakaran dan memohon yang memiliki sedikit kelebihan agar menyumbang kewangan untuk sekolah berkenaan.

"Bangunan ni terbakar bulan Ramadhan, sudah 9 bulan berlalu, tiada cerita apa-apa", katanya menjelaskan kekesalannya. Dari situ baru saya tahu beliau merupakan bapa kepada salah seorang pelajar sekolah berkenaan. Katanya kejadian itu berlaku pada tengah malam, sekitar jam 1 pagi. Mujurlah katanya tiada kemalangan jiwa, tetapi para pelajar lelaki terpaksa menyelamatkan diri, tinggal sehelai sepinggang, kehilangan semua barang peribadi mereka termasuk  pakaian dan kelengkapan sekolah.

Apa yang saya dimaklumkan, selepas kebakaran berlaku, pihak berwajib membina sederet blok bangunan papan seperti berek untuk kegunaan para pelajar lelaki (mungkin bersifat sementara), sementara asrama putera yang terbakar masih terbiar begitu sahaja. Walaubagaimanapun, saya berharap mereka tetap bersabar atas ujian ini dan semoga kejadian itu tidak menjejaskan tumpuan pembelajaran mereka.