September, 2, 2013 - 7:21 am KOTA KINABALU: Dua projek Mesra Rakyat (PMR) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) di Nabawan, pedalaman Sabah, iaitu Skim Nabawan dan Estet Pandewan, telah memberi harapan baharu kepada semua 578 peserta tempatan yang terlibat, kebanyakannya daripada komuniti Murut.
Bagi Skim Nabawan, SLDB setakat ini telah membangunkan seluas 474.13 hektar (ha) daripada kawasan seluas 2,275.58 ha dengan kelapa sawit semenjak 2011.
Daud Anggau, 42, ketua kampung di Nabawan berkata pelbagai usaha telah dibuat sebelum ini untuk memberikan nilai ekonomi kepada tanah itu, seperti menanam ubi kayu dan buah markisa serta mengusahakan ternakan air payau, tetapi semua ini gagal memberikan impak kepada kehidupan masyarakat setempat.
Beliau berkata mesyuarat antara SLDB dan masyarakat kampung telah melihat 292 peserta dipilih untuk projek PMR keduanya.
"Kami berterimakasih kepada SLDB kerana projek-projek PMR bukan sahaja menjanjikan masa depan yang cerah kepada peserta, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Alfonsos Thomas, salah seorang daripada 289 peserta yang terlibat dalam projek perladangan kelapa sawit di Estet Pandewan berkata projek PMR itu telah menarik perhatian penduduk kampung dari Pensiangan dan Sapulut.
"Mereka benar-benar berminat dengan apa yang mereka lihat di sini, dan mereka berharap SLDB boleh melaksanakan projek yang serupa di kawasan mereka," katanya.
Dalam perkembangan lain, ketua pegawai eksekutif SLDB, Jhuvarri Majid (gambar) berkata agensi itu merekodkan pertumbuhan purata 20 peratus setiap tahun semenjak 2006 sementara nilai bersihnya naik kepada RM536 juta pada 2012 berbanding RM228 juta pada 2006.
Beliau berkata nilai tanah yang diusahakan oleh SLDB bagi tempoh yang sama meningkat kepada RM1.2 bilion daripada RM411 juta enam tahun lepas.
"Setakat ini, terdapat 5,342 peserta dalam projek-projek pembangunan pertanian di seluruh Sabah, kebanyakannya di kawasan pedalaman Sabah, dan jumlah dividen yang dibayar kepada mereka adalah RM120 juta," katanya.
SLDB juga membangunkan tanah di kawasan luar bandar untuk pemilik yang telah diberikan geran tanah komunal, satu cara paling cepat untuk memberikan hak tanah kelompok kepada penduduk tempatan.
0 ulasan:
Catat Ulasan