ads

Ahad, 21 Ogos 2011

10 di keningau - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di keningau - Google Blog Search


LELAKI DAN WANITA SEBAGAI RAKAN KONGSI | Catholic Diocese of <b>Keningau</b>

Posted: 13 Aug 2011 09:00 AM PDT

Renungan Hari Minggu Biasa Ke – 20 (Tahun A)

Yes 56:1.6-7; Rom 11:13-15.29-32; Mat 15:21-28

"Wanita alangkah besar kepercayaanmu."

Kelab Isteri Taat(KIT) yang pada mulanya diperkenalkan di Amman, Jordan pada 01hb Mei tahun 2011 ini, telah dilancarkan pula di negara kita Malaysia sebulan kemudiannya. Kelab ini terbuka untuk semua penganut agama dengan tujuan agar membantu isteri-isteri memuaskan keinginan suami mereka agar tidak mencari wanita lain serta menawarkan kelas seks agar tahu cara-cara seks yang disukai oleh suami mereka masing-masing. Naib Presiden kelab isteri taat, Dr. Rohana Mohamed mengingatkan golongan isteri supaya patuh dan melayani suami seperti 'pelacur kelas pertama.'

Pelbagai respons terhadap kelab tersebut, ada yang menyetujuinya namun lebih banyak yang tidak menyetujuinya termasuk daripada isteri-isteri kaum muslimin itu sendiri. Mufti negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang baru-baru ini telah mengharamkan tarian poco-poco, menyokong penuh kelab tersebut dan berharap agar lebih banyak lagi kelab-kelab tersebut ditubuhkan di seluruh negara. Tetapi menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Masita Ibrahim, kewujudan kelab tersebut menimbulkan tanda tanya kerana ia dibimbangi menjadi kelab yang digunakan oleh golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Marina Chin Abdullah, juru cakap Joint Action Group for Gender Equality (JAG), merasa kecewa kerana selama ini wanita Malaysia berjuang untuk kesamarataan dengan kaum lelaki, tetapi KIT pula malah mahu kembali mundur ke belakang. "Saya berharap lebih banyak lagi kaum lelaki menolak ideologi kelab isteri taat ini," kata beliau lagi.

Saya percaya banyak wanita yang sudah merasa sama dengan kaum lelaki merasa terkejut dan marah apabila kaum wanita dipandang rendah daripada kaum lelaki. Tetapi sejak dahulu kita mendengar kaum wanita dipandang rendah dan ditanam ke dalam pemikiran mereka bahawa mereka adalah kaum yang lemah, bodoh atau kaum yang perlu patuh pada kehendak yang kaum lelaki. Contohnya, ada terdapat doa Yahudi artodok yang bermaksud, "Terima kasih Tuhan kerana Engkau tidak menciptaku sebagai wanita." Di dalam agama Islam pula ada terdapat dalam Hadith yang bermaksud, "Wanita adalah seperti tulang rusuk yang bengkok…janganlah meluruskannya…nanti ia patah." Di kalangan Gereja kita pula, St. Augustine percaya bahawa wanita tidak diciptakan melalui gambaran Allah. Malah agak mengejutkan pula St. Tomas Aguinas, bapa pujanga Gereja kita yang termasyur itu menganggap wanita sebagai "Lelaki-lelaki yang tidak sempurna." Martin Luther pula pernah berkata, "Allah mencipta Adam, tuan bagi segenap makhluk tetapi Hawa telah menjahanamkannya." Dan jangan lupa juga di dalam alkitab tentang kisah Samson menjadi tidak berdaya kerana seorang wanita yang bernama Delila.

Di dalam segala ungkapan negatif tentang kaum wanita sejak dahulu, di luar mahupun dari dalam tradisi agama kita sendiri, lalu kita mulai tertanya-tanya bagaimana pula respons Yesus sendiri terhadap kaum wanita yang diwakili oleh wanita dari Kanaan dalam Injil hari ini. Wanita tersebut adalah wanita yang dipinggirkan atas dua sebab. Pertama dia adalah wanita yang berada di dunia lelaki. Kedua dia bukan Yahudi maka dianggap sebagai orang yang tidak suci.

Namun kita perlu memuji wanita tersebut kerana berani mengatasi halangan sosial tersebut dan datang kepada Yesus dengan permohonan untuk menyembuhkan anak perempuannya yang kerasukan itu. Pada mulanya Yesus menolak untuk membantunya kerana Dia menganggap misi-Nya sebelum Ia wafat adalah untuk pergi kepada anak domba yang hilang di antara orang-orang Yahudi. Maka Yesus berkata, "Tidak patut mengambil roti yang disediakan bagi anak-anak dan melemparkannya kepada anjing." Namun wanita tersebut tidak berputus asa lalu membalas alasan Yesus tersebut dengan bijak, "Benar, Tuhan, namun anjing itu makan remeh-remeh yang jatuh dari meja tuannya." Wanita tersebut mengatakan kata-kata tersebut dengan penuh hormat tanpa rasa marah apa lagi benci terhadap Yesus yang mengungkapkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan itu. Yesus begitu terharu akan sikap wanita yang sederhana dan penuh kepercayaan terhadap-Nya itu dan Dia memuji wanita tersebut, "Ibu, besar imanmu, maka jadilah kepadamu seperti yang kau kehendaki."

Sebenarnya wanita tersebut bersikap lurus dan berterus terang dalam mengutarakan permohonannya. Dalam hal ini Yesus pun cukup terbuka. Dia berkeputusan untuk menerima permohonannya sambil Dia sendiri menghargai sikap wanita tersebut. Melalui perhubungan Yesus dengan wanita Kanaan tersebut, kita diberi pengajaran bagaimana seharusnya menerima dan bekerjasama dengan wanita sebagai teman seperjuangan di dalam hidup ini. Paulus sendiri telah mengajarkan kita bahawa di dalam Yesus: "Tidak ada laki-laki atau perempuan, kerana kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus" (Gal 3:28).

Pada zaman yang serba canggih ini, segala kisah-kisah negatif mengenai wanita seharusnya sudah lenyap ditelan zaman. Kita dipanggil untuk saling menghargai dan menerima satu sama lain sebagai anak-anak Allah. Khususnya kaum lelaki, lebih baik bekerjasama dengan wanita daripada menganggap mereka bodoh dan sesuai menganggotai kelab isteri taat. Kerjasama memerlukan pengambilan keputusan secara bersama tanpa pandang kaum lelaki atau wanita. Kita perlukan sentuhan wanita lebih-lebih lagi segi emosi dan kepintaran mereka yang bersifat keibuan, halus, sederhana dan penuh cinta kasih itu.

Kita tidak nafikan wanita mempunyai banyak kemahiran yang kurang dimiliki oleh kaum lelaki, terutama dalam membela kehidupan daripada menghapuskannya. Mungkin kalau pemimpin-pemimpin dunia adalah wanita, maka peperangan menggunakan senjata pemusnah akan berkurangan. Maka lelaki dan wanita dipanggil untuk berjalan bersama sebagai rakan kongsi di Millenium yang serba digital ini sebab, "Tidak ada laki-laki ataupun perempuan, kerana kamu semua adalah satu di dalam Kristus Yesus" (Gal 3:28). (JL)

Cadangan soalan untuk refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

1. Apakah pesan Yesus pada diri anda sendiri apabila Yesus berkata: "Hai ibu, besar imanmu, maka jadilah kepadamu seperti yang kau kehendaki."

2. Yesus menganggap wanita adalah setaraf dengan lelaki. Apakah yang harus kita lakukan sebagai pengikut Kristus jika ada kumpulan-kumpulan tertentu yang memandang rendah terhadap kaum wanita?

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved