Sampai di K.K hari masih pagi, jadi kami ke Pasar Filipina dulu, saya tak beli sangat kerana sudah selalu ke sini. Hanya beli sedikit jajan seperti Amplang dan ikan bilis. Saya ada buat entry tentang Pasar Filipina
di sini. Lepas itu, kami menonton wayang cerita Hunger Games Cathcing Fire di Centre Point K.K. Bukan apa, saya dah baca novelnya, jadi teringin nak tengok dilayar pula. Ok juga, tapi sudah pasti ada perbezaan yang dilayar dan didalam novel. Centre Point sama dengan mana-mana pusat membeli belah dibandar-bandar lain, dikunjungi ramai muda-mudi kaki lepak dan banyak kedai menjual cenderamata. Ia sangat dekat dengan Pasar Filipina dan Pasar Besar Kota Kinabalu.
Saya hanya beli sebungkus kopi tenom di sini. Seperti yang dikenali ramai, Tenom adalah pusat pengeluar utama kopi di Sabah. Ada berbagai jenis dengan pelbagai gred. Memang saya suka kopi, sebab dulu pernah kerja di cafe delifrance. Jadi sudah biasa dengan minuman Latte dan Cappucino. Tiga jenis kopi yang popular di dunia ialah Arabica, Liberica dan Robusta. Kalau sebut kopi luwak pula, ia bukan jenis kopi, ia adalah biji kopi tidak hadam diambil dari tahi musang yang sengaja dibela. Harga kopi luwak boleh mencecah ratusan ringgit. Entah dimana sedapnya tak tahu, tak pernah cuba. Ada label halal, tapi saya tetap tak berani. Banyak kedai yang menjual khas kopi di Kota Kinabalu. Tapi saya paling suka kopi tenom tanpa gred yang biasa sahaja, di beli di Pasar Filipina. Ia lebih pekat, macam kopi kampung, cuma kali ini saya tidak beli kopi itu, kerana nak mencuba kopi gred tinggi, kononnya.
Malam itu kami ke pasar malam Kampung Air. Ia taklah jauh sangat dengan hotel, cuma dalam beberapa ratus meter. Pasar malam ini hanya menjual barangan cenderamata, mutiara dan kain-kain. Tidak ada makanan dijual. Ada orang kata mutiara disini lebih murah, tapi saya tak pula membandingkannya dengan pasar Filipina kerana kurang berminat membeli kali ini. Pasar malam itu tidak jauh sangat dengan Centre Point, lebih kurang 300-400 meter sahaja, tapi haruslah melalui celah-celah bangunan. Ia dibuka setiap malam dan sama seperti pasar Filipina, kena pandai tawar menawar untuk mendapatkan harga yang terbaik. Berhampiran pasar malam Kampung Air, di seberang jalan menghala ke Pasar Filipina, dicelah-celah bangunan, terdapat satu lagi pasar malam yang menjual kain-kain bundle dan lain-lain cenderamata. Entah apa nama pasar malamnya, saya tak pasti.
Hotel Horizon Kota Kinabalu
Tentang penginapan pula, kali ini saya menginap di Hotel Horizon. Mulanya saya cadangkan pada kawan pilih La Meridien sahaja, tapi hotel itu sudah penuh pula, jadi mereka pilih tempat ini. Ia sebuah hotel yang agak mewah dan cantik, namun saya tidak berpuas hati kerana dalam bilik saya ada Bible. Sebagai sebuah negara Islam, apa relevannya meletak Bible dalam bilik hotel. Walaupun untuk pengunjung asing atau penginap yang beragama Kristian (etnik Sabah ramai yang beragama Kristian), tetapi ia masih tak sesuai. Bagi saya, lebih baik Bible itu di simpan di receptionist, siapa yang nak, boleh request, macam tu lebih menghormati penginap Islam yang lain. Entahlah, lain orang mungkin lain pendapat dengan saya. Tak tahulah pula kalau kegunaan Bible itu supaya orang Islam boleh bandingkan isinya dengan Al-Quran (tak salahpun). Saya hanya sempat telek sikit-sikit, kerana terlalu sibuk. Siapa yang rajin membaca tafsir Al-Quran, pasti akan faham, mengapa kitab untuk kaum Nabi Muhammad itu tidak terbanding dengan mana-mana kitab ciptaan manusia ini.
Berdekatan dengan hotel itu ada Tugu Peringatan Malaysia dan Petagas War Memorial. Di belakang hotel pula ada jambatan yang boleh berhubung terus dengan pasar Filipina dan Pasar Besar Sabah. Di atas jambatan ada ramai peniaga berjualan mutiara dan manik-manik. Perjalanan jalan kaki mengambil masa kira-kira 15 minit. Tapi kalau beli barang banyak, lebih baik ambil teksi, kalau tak, jenuh nak berjalan. Sebab itu saya lebih cadangkan hotel-hotel berdekatan Centre Point sahaja untuk si kaki membeli-belah. Walau bagaimanapun hotel ini lebih dekat dengan pangkalan Jesselton untuk ke tiga pulau serangkai (Sapi, Manukan dan Mamutik). Ia juga amat sesuai dengan pasangan yang hendak berhoneymoon, kerana ada bilik yang ada jakuzi! Cuma harganya...Emmm...Boleh check di internet. Kalau mampu apa salahnya. Tentang sarapan pula, masih tidak boleh lawan hotel Promenade, Concorde Inn dan kebanyakan hotel 5 bintang lain. Hotel inipun punyai kemudahan untuk mengadakan bengkel dan mesyuarat.
Pengalaman di Sabah - Kudat, tempat menarik sepanjang perjalanan dan tempat membuat Gong (akan datang)
Pengalaman di Sabah - Kudat - Tips of Borneo -Tanjung Simpang Mengayau (akan datang)
0 ulasan:
Catat Ulasan