10 di lahad datu - Google Blog Search |
<b>Lahad Datu</b> pekan tarikan pelancongan - Halaman Gambar Menarik <b>...</b> Posted: 01 Apr 2012 12:14 AM PDT UCAPKAN selamat tinggal kepada penerbangan belasan jam, pemeriksaan kastam ataupun pemilikan pasport antarabangsa. Namun penduduk pekan ini hanya perlu membayar kos 'pakej' serendah RM5 dengan menaiki bas mini untuk sampai ke sana. Jangan salah sangka. Paris yang dimaksudkan bukanlah kota fesyen yang terletak 11,500 kilometer (km) jauh, tetapi sebenarnya adalah Kampung Paris yang terletak 70 km dari Lahad Datu. Lahad Datu bukanlah sebuah pekan besar, tetapi mempunyai peranan besar ke atas pembangunan negeri Sabah terutama dari segi ekonomi dan pelancongan. Di kelilingi industri kelapa sawit, ladang-ladang yang diusahakan secara persendirian mahupun oleh gergasi korporat terbentang luas sejauh mata memandang, sedia untuk memenuhi permintaan minyak sawit untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Aktiviti ekonomi lain berasaskan penanaman yang dijalankan di sini termasuklah perusahaan kelapa kering (kopra) bagi menghasilkan minyak goreng, getah serta koko yang menjadi punca rezeki masyarakat tempatan. Kedudukannya yang terletak di tepi laut, turut menggalakkan aktiviti perikanan. Selain ikan, perairan di sini kaya dengan udang harimau, udang kertas, ketam bakau dan rumpai laut. Menurut laman web pejabat daerah, kaum yang tinggal di sini terdiri daripada suku kaum Kadazan-Dusun, Dusun Subpan, Dusun Bagahak, Suluk, Bajau, Cina, Kokos, Iranun, Bugis, Timor, Tidong, Jawa, Sungai, Idahan dan Kagayan. Laman web yang sama juga menyatakan asal perkataan Lahad Datu adalah daripada bahasa kaum Bajau. Perkataan Lahad membawa erti tempat manakala Datu membawa erti orang kenamaan pada zaman dahulu. Tempat ini dinamakan sedemikian selepas penghijrahan golongan Datu, yang diketuai oleh Datu Puti, dari kerajaan Suluk. Ini susulan penyerahan kuasa kawasan ini kepada Sultan Suluk oleh Sultan Brunei pada 1879. Dikatakan juga nama asalnya sebelum peristiwa ini ialah Kerugau yang bererti batu karang bertompok-tompok di sekitar pantai dari Kunak hingga ke Membatu, yang terletak di Tungku. Lokasi pekan ini juga strategik sebagai perantara untuk industri pelancongan. Lembah Danum, Taman Hidupan Liar Tabin dan Muzium Arkeologi Batu Tulug semuanya boleh dilawati dengan menggunakan kenderaan darat. Lembah Danum menempatkan Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang kaya dengan spesis yang jarang ditemui seperti Gajah Pygmy Borneo iaitu spesis gajah terkecil di dunia, Badak Borneo Sumatera, Orang Utan, Tembedau dan pelbagai spesis bunga orkid liar. Dengan kemewahan flora dan faunanya, tidak hairanlah kawasan ini dikenal pasti sebagai antara kawasan ekosistem paling padat di dunia. Taman Hidupan Liar Tabin pula terkenal dengan kawah lumpur yang menjadi sumber mineral haiwan di sini. Para pengunjung berpeluang melihat kesan tapak kaki yang masih 'segar'. Di sini juga terdapat Pusat Perlindungan Badak Sumbu Borneo Sumatera yang menempatkan tiga ekor badak sumbu dalam usaha membiakkan spesies yang semakin terancam ini. Selesai melawat tempat-tempat berkenaan, pelancong boleh memilih untuk ke Sandakan yang terkenal dengan Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok atau ke Samporna yang menjadi pintu masuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Mabul. Kedua-dua pulau ini terkenal dengan kecantikan landskap di darat dan dasar laut, turut mendapat jolokan sebagai syurga dasar laut kepada peminat aktiviti selaman skuba. Kemampuan Lahad Datu untuk menyediakan pengalaman lengkap di darat dan laut boleh dijadikan batu loncatan ke arah hab pelancongan jika dipakej dengan betul dan menarik. Pekan yang sedang melalui proses pembangunan yang pesat ini adalah nadi buat kehidupan masyarakat baik di Lahad Datu sendiri, mahupun di kawasan sekelilingnya seperti Silabukan, Silam dan Kinabatangan. Masyarakat dari luar pekan berduyun-duyun berkunjung ke sini untuk pelbagai urusan, yang kebanyakannya pekerja ladang kelapa sawit. Kesempatan inilah yang digunakan oleh masyarakat setempat untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan. Satu daripadanya ialah pengangkutan van yang dikenali sebagai 'bas mini'oleh masyarakat setempat. Pengusaha bas mini, Norman Raman, 29, berkata, musim gaji turut dikenali sebagai musim 'bulan muda' biasanya berlaku dari tarikh 26 haribulan hingga 9 haribulan setiap bulan kerana pada waktu inilah ramai yang keluar ke pekan. Norman yang sudah mengusahakan bas mini untuk laluan Kampung Paris-Lahad Datu selama lima tahun berkata, walaupun permintaan terhadap perkhidmatan bas mini dipengaruhi faktor musim, namun masih banyak bas mini diperlukan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Pelanggan dikenakan tambang berdasarkan jarak laluan yang mereka lalui serendah RM5 seorang. Kos tambang menjadi semakin tinggi sesuai dengan jarak yang dilalui penumpang. Caj tambahan juga dikenakan jika penumpang meminta untuk dihantar ke destinasi terpencil. Bagi pemandu bas mini, Sabaril Lamade, 30, beliau menyukai kerjanya kerana dapat membina hubungan rapat dengan para penumpang. "Bertahun-tahun kita bawa bas, sudah kenal penumpang, mereka senang dengan kita, kita juga senang dengan mereka," ujarnya yang berperwatakan ceria. |
You are subscribed to email updates from di lahad datu - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan