ads

Rabu, 25 April 2012

10 di kota kinabalu - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di kota kinabalu - Google Blog Search


Minggu Saham Amanah MSAM 2012 <b>di Kota Kinabalu</b>, Sabah (20 <b>...</b>

Posted: 21 Apr 2012 07:31 AM PDT

KOTA KINABALU 19 April - DALAM diam tak diam, sudah 13 tahun berturut-turut Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan pameran pelaburannya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

Acara pelaburan terbesar yang bermula di Kuala Lumpur pada tahun 2000, kini sudah sampai ke destinasi kedua terakhir, iaitu Kota Kinabalu, Sabah.

Pada awal penganjuran, ramai yang tidak memahami tentang keperluan PNB mengadakan MSAM kerana pengetahuan dan maklumat mengenai pelaburan boleh didapati dengan mudah di pejabat-pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejennya ataupun dihujung jari sahaja.

Timbul juga persoalan mengapa dan kenapa PNB dan syarikat-syarikat miliknya bersusah payah serta membazir masa dan wang ringgit untuk menganjurkan pameran seumpama itu?.

Tetapi, selepas 12 tahun MSAM diadakan, ramai yang mengakui betapa untungnya rakyat Malaysia kerana tanpa sebarang kos, mereka diberi peluang keemasan melalui MSAM untuk mendalami ilmu pelaburan.

MSAM bukan sekadar pameran biasa kerana para pengunjung yang buta ilmu pelaburan sekalipun akan mendapat faedah apabila mendekati, memahami dan mendalami kandungan pameran - itulah keunikannya.

Jadi tidak menghairankan MSAM, pameran yang hanya bersandarkan dunia pelaburan berjaya menggamit kehadiran 2.07 juta pengunjung.

Seperti kata Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, peluang untuk mendapatkan ilmu pelaburan seumpama MSAM tidak pernah dinikmati oleh rakyat negara lain - kecuali Malaysia.

Meskipun tidak pernah mendedahkan kos penganjuran MSAM, tetapi berdasarkan saiz dan apa yang ditawarkan, belanja yang dikeluarkan bukannya kecil.

Ketika berbual dengan seorang pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Jetson, beliau mengakui cukup teruja melihat pameran terbesar pernah diadakan di Sabah sepanjang usianya yang kini mencecah 57 tahun.

Tanpa berselindung, beliau beranggapan, tapak pameran MSAM itu bakal diadakan penganjuran konsert seperti selalu tetapi tidak menyangka rupa-rupanya ia merupakan pameran ilmu.

Beliau juga terperanjat apabila dimaklumkan bahawa pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran masuk. Dengan nada terkejut beliau berkata: ''Kalau macam itu (masuk percuma) bagaimana (PNB) mahu untung?"

Bagi PNB, kos bukan persoalan utamanya kerana sejak awal penganjuran MSAM, matlamat dan objektifnya adalah memastikan setiap individu yang menyertai MSAM sekurang-kurangnya mengetahui pulangan dan risiko.

Hari ini, pulangan dan risiko bukan sahaja sudah diketahui oleh masyarakat Malaysia terutama di kalangan pelabur bumiputera, sebaliknya mereka sudah berani untuk melabur dalam unit-unit amanah saham.

Itu tidak termasuk kehadiran peneraju syarikat-syarikat di bawah PNB setiap 20 April di mana sahaja penganjuran lokasi MSAM.

Kehadiran orang-orang penting di belakang tabir ini juga menunjukkan bahawa keseriusan mereka untuk menjayakan MSAM saban tahun tanpa gagal.

Seiring usia MSAM yang kini 'remaja', acara berkenaan menawarkan banyak manfaat kepada rakyat Malaysia. Usaha dan pengorbanan PNB juga semakin menampakkan hasil apabila setiap tahun penyertaan pelabur dan jumlah pelaburan yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) bertambah.

Sebagai meminjam kata-kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman, rugi sekiranya rakyat Sabah tidak menyertai MSAM.

''Saya menaruh harapan agar rakyat Sabah mengambil peluang sebaik mungkin mengunjungi MSAM sepanjang 10 hari ini. Rugi kalau mereka ketinggalan kerana penganjuran ini bukan mudah, ia menggembleng seluruh tenaga pihak-pihak yang terlibat.

''Terima kasih PNB kerana bersusah payah mahu memberi ilmu kepada kami," ujarnya penuh makna.

PM rasmi MSAM 2012

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan acara tahunan terbesar Permodalan Nasional Berhad (PNB), Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, petang esok.

MSAM 2012 yang bertemakan 'Pelaburan Untuk 1Malaysia' adalah penganjuran kali ke-13 berlangsung selama 10 hari sehingga 28 April ini. Kemasukan para pengunjung yang dibuka mulai pukul 9 pagi esok adalah percuma.

MSAM yang dianjurkan sejak tahun 2000, telah menjelajahi seluruh negara setakat ini, kecuali Perlis dengan mencatatkan bilangan pengunjung seramai 2.07 juta.

Pameran terbesar itu bakal disertai oleh Amanah Saham Nasional Bhd. dan lebih 50 syarikat milik PNB termasuk Malayan Banking Bhd. (Maybank), Sime Darby Bhd. (Sime Darby), I&P Group, UMW Holdings Bhd., Chemical Company Malaysia Bhd. (CCM), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas).

Badan-badan pengawas selia kewangan termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti turut menyertai MSAM 2012.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang meninjau tapak pameran kira-kira sejam di sini berpuas hati dengan persiapan terakhir yang sedang giat dijalankan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Katanya, Sabah sungguh bertuah kerana turut diberi peluang untuk menjadi tuan rumah MSAM dan meminta semua rakyat Sabah tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengunjungi pameran MSAM itu.

''MSAM adalah pameran terbesar pernah diadakan di negeri ini dan kita amat bertuah kerana PNB memilih Sabah.

''Justeru, saya mahu rakyat Sabah mengambil peluang keemasan ini mendapatkan ilmu pelaburan sebanyak mungkin, sambil mengenali syarikat-syarikat gergasi di bawah PNB,'' katanya ketika ditemui di sini.

PNB menyasarkan sejumlah 200,000 pengunjung pada MSAM 2012 kali ini.

Selain mendalami ilmu pelaburan, para pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti pelaburan dan khidmat nasihat kewangan.

Sambil mengikuti aktiviti tersebut, para pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan termasuk Ford Fiesta 1.6L, Totota Hilux 2.5G dan MyVi 1.5 Extreme.

- UTUSAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved