ads

Selasa, 27 Mac 2012

10 di semporna - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di semporna - Google Blog Search


Uthaya Sankar SB: Kutiyattam <b>di Semporna</b> – Bahagian 3

Posted: 03 Mar 2012 03:00 PM PST

[Encik Kutty meluahkan apa yang sebenarnya akan membuatkan beliau bangga dengan bakat gadis itu.]

Cerita-cerita kutiyattam yang diambil daripada epik Ramayana, Mahabharata dan purana sentiasa membuatkan saya melupakan sebentar realiti di sekeliling.

Saya turut menemui sebuah buku khusus mengenai kutiyattam, lalu terpesona membaca sinopsis cerita "Valivadhanka" yang mengisahkan perselisihan antara Vaali, raja kera dengan adiknya, Sugriwa.

Sugriwa lalu meminta bantuan Rama untuk membunuh Vaali. Aksi pertarungan Sugriwa-Vaali dan Rama-Vaali pasti dipersembahkan secara penuh dramatik dalam drama tari kutiyattam. Saya pula membayangkannya dalam imaginasi.

Begitu juga kisah "Anguliyankam" yang berkisar tentang episod Rama meminta Hanuman meninjau keadaan Sita yang dilarikan oleh Ravana ke Lanka. Apabila bertemu Sita, Hanuman menyampaikan cincin pemberian Rama bagi membuktikan bahawa dia adalah utusan daripada Rama.

Kegilaan saya terhadap kutiyattam sejak lapan tahun lalu membuatkan rakan-rakan menganggap saya terlalu pelik. Malah, ada yang mengatakan saya mungkin terpengaruh dengan filem Tamil dan Hindi di televisyen.

Biar apa pun tanggapan dan teori mereka, bagi saya, kutiyattam membuka laluan berupa eskapisme yang sukar saya perjelaskan.

Bayangkan bahawa kutiyattam bukannya salah satu seni persembahan tradisional kaum India yang dikenali umum di Malaysia; termasuk di Semenanjung Malaysia.

Realiti itu saya sedari sepenuhnya apabila berpeluang melanjutkan pelajaran di Kolej Siru Kambam. Tidak seorang pun rakan-rakan kaum India di sini tahu mengenai kutiyattam.

Sebenarnya, saya tidak pula menjadi obses dengan kutiyattam. Sebaliknya drama tari itu menjadi semacam realiti imaginatif pada setiap kali saya mahu melupakan realiti kehidupan.

Capaian internet di kolej memungkinkan saya membuat rujukan di ruang siber serta menonton klip video persembahan kutiyattam yang saya rasakan tetap hebat walaupun tidak semewah kathakali.

Saya mendapat tahu bahawa corak persembahan kutiyattam yang bermula pada abad kesepuluh mempunyai beberapa persamaan dengan kathakali yang diasaskan pada abad ke-17. Hal ini tidaklah menghairankan kerana kathakali dipercayai menerima pengaruh daripada kutiyattam.

Namun begitu, antara kedua-dua bentuk drama tari ini, masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Misalnya, kutiyattam disertai oleh golongan cakyaras yang terdiri daripada lelaki dan wanita. Kathakali pula dikhaskan untuk penari lelaki sahaja kerana teknik persembahan yang jauh lebih rumit.

Selain itu, kathakali secara tradisi dipersembahkan di tanah lapang terbuka di perkarangan kuil manakala kutiyattam dipersembahkan di atas kutambalam yang dibina di perkarangan kuil.

Selain itu, kutiyattam amat mementingkan bahagian imbas kembali; tetapi tidak demikian halnya dengan kathakali.

Apabila Hassan yang berasal dari Ranau mendapat tahu tentang "kegilaan" saya terhadap kutiyattam, dia memberitahu saya mengenai Encik Kutty yang tinggal di Siru Kambam.

"Saya fikir awaklah satu-satunya orang Sabah yang tahu mengenai kutiyattam dan begitu tergila-gila akan seni persembahan itu!"

Demikian kata rakan kolej itu selepas berjaya mengatur temu janji bersama Encik Kutty sekitar dua minggu lalu.

Sesungguhnya, pertemuan dengan Encik Kutty tidak memberikan maklumat tambahan yang banyak berbanding apa yang sudah saya ketahui mengenai kutiyattam hasil daripada pembacaan.

Bagaimanapun, hakikat bahawa saya benar-benar berpeluang bertemu seorang individu yang turut meminati dan mengenali seni drama tari tradisional itu membuatkan saya terasa amat gembira.

"Saya bangga dengan minat yang kamu tunjukkan."

Demikian kata Encik Kutty kepada saya semasa pertemuan sulung kami, dua minggu lalu. Dialog itu diulangnya pada hari ini.

"Terima kasih, encik. Saya juga berasa amat bangga dapat bertemu dengan encik untuk mendapatkan begitu banyak maklumat yang sangat menarik," saya membalas dengan penuh sopan.

"Ada apa-apa tujuan khusus mengapa kamu begitu berminat?"

Saya mencebikkan bibir dan mengerutkan kening. Kemudian menggeleng kecil.

"Tapi kalau ada peluang, saya mungkin akan cuba menulis artikel untuk majalah," saya menambah sejurus kemudian. "Biar lebih ramai penduduk Malaysia tahu mengenai kutiyattam."

Saya memandang ke arah Encik Kutty yang sedang duduk sambil memegang gelas minuman. Beliau sedang merenung lantai dengan pandangan yang serius.

"Ramai yang tidak tahu mengenai keunikan drama tari ini. Teknik pergerakan diolah dengan gaya. Cerita disampaikan melalui hastabhinaya iaitu pergerakan tangan atau mudra; netrabhinaya iaitu pergerakan mata; mukhabhinaya atau ekspresi muka; dan angikabhinaya iaitu pergerakan seluruh tubuh badan. Malah, ada masanya sebahagian cerita disampaikan melalui mukhabhinaya sahaja tanpa pergerakan tangan, kaki dan badan."

Encik Kutty masih merenung lantai tanpa memberikan sebarang reaksi terhadap apa yang saya ceritakan dengan penuh bersemangat.

Mungkin akan ada reaksi apabila saya menyatakan bahawa saya pasti menyebut nama beliau jika saya menulis sebarang makalah mengenai kutiyattam. Saya tidak akan membenarkan kes yang berlaku dalam Dewan Budaya keluaran Februari 2012 berulang.

Namun, sebelum saya sempat menyambung bicara, lelaki berumur sekitar setengah abad itu mengalihkan pandangan ke arah saya.

"Saya amat menghargai minat dan kesungguhan kamu untuk mengenali drama tari kutiyattam. Malah kamu mungkin juga menulis rencana mengenainya."

Saya dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Bagaikan Encik Kutty sedang merenung jauh merentas tembok yang saya bina bagi memastikan saya tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat diri kepada orang lain.

Encik Kutty pasti tahu bahawa bahagian keempat dalam struktur persembahan kutiyattam adalah Nirvahana di mana penari menceritakan kisah masa lalu melalui nrittya.

Bahagian ini amat kompleks kerana imbas kembali dilakukakn secara tidak kronologi. Akan tetapi, kompleksiti ini tidak pernah menghalang penonton daripada menghayati jalan cerita sebenar.

Kini, sayalah seperti penari kutiyattam itu sementara Encik Kutty pula penonton yang sudah sedia mengetahui jalan cerita kisah-kisah yang diangkat daripada epik Ramayana, Mahabharata dan purana.

"Saya akan berasa lebih bangga jika kamu menggunakan bakat, ruang dan peluang yang ada untuk memperkenalkan budaya etnik Bajau dan Simunul kepada rakyat Malaysia."

Saya berasa sedikit terpukul. Bagaikan Encik Kutty sengaja mahu memaksa saya kembali mengenali jati diri dan budaya tradisional nenek-moyang.

"Kalau bukan kamu yang mempelajari, menghargai dan menghayati budaya tradisi nenek-moyang kamu, siapa lagi?" – Tamat

(Uthaya Sankar SB yakin bahawa antara keunikan Bangsa Malaysia adalah jati diri serta kepelbagaian etnik dan budaya. Faksyen ini ditulis pada 30 Januari 2012 dan Bahagian 3 disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk membaca Bahagian 1. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen.)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved