10 di semporna - Google Blog Search |
Gambar Percutian Diana Danielle <b>di Semporna</b> Sabah. | ct N honey Posted: 05 Feb 2012 08:53 PM PST Diana Danielle, aktres jelita berusia 20 tahun itu saling tak tumpah seperti aktivis kemanusiaan dan kemasyarakatan yang sering dilakukan personaliti terkenal dunia seperti Angelina Jolie dan mendiang Puteri Diana. Semua aksi dalam foto berkenaan dirakamkan di Semporna, Sabah termasuk di Gusungan, Mabul, Omadal, Kapalai, Bohey Dulang, Tatagan, Maiga dan Sibuan islands pada percutiannya bertarikh 26-29 Januari 2012 yang lalu. "Usaha saya ke sana tidak membawa motif tertentu. Nak bantu daripada segi kewangan tak mampu. Jadi saya sekadar mahu berkongsi perasaan dengan mereka dan jauh di sudut hati terdetik juga akan ada pihak yang sudi membantu mereka apa yang patut",kata Hos program MyEG Extra Time menerusi saluran ESPN ini. |
Uthaya Sankar SB: Kutiyattam <b>di Semporna</b> – Bahagian 1 Posted: 18 Feb 2012 03:00 PM PST [Kisah ini mengenai seorang gadis etnik Simunul dari Sabah yang mencari eskapisme menerusi teater tradisional India.] Sejak mula, saya memilih untuk tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai diri saya. "Mengapakah kamu begitu berminat untuk tahu mengenai drama tari ini?" Demikian antara soalan pertama yang dikemukakan oleh Encik Kutty apabila Hassan Jaidin memperkenalkan saya kepadanya, dua minggu lalu. "Saya pernah membaca mengenainya menerusi sebuah rencana di sebuah majalah lama semasa berumur dua belas tahun," saya berterus-terang kepada lelaki berumur sekitar 50 tahun itu. Nama sebenarnya Krishna Kutty tetapi penduduk Siru Kambam khabarnya memanggil lelaki keturunan Malayali itu sebagai "Kutty" sahaja sejak kecil. Secara kebetulan, beliau meminati kutiyattam iaitu satu bentuk teater Sanskrit yang berasal dari negeri Kerala, India dan diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco). Saya pertama sekali membaca mengenai kutiyattam semasa membelek-belek majalah lama di Perpustakaan Awam Cawangan Semporna pada tahun 2004. Struktur persembahan drama tari kutiyattam terbahagi kepada empat bahagian iaitu Talavilkettuka, Arannuvitanam, Purappad dan Nirvahana. Bahagian Talavilkettuka, iaitu upacara memasang lampu pertama, dilakukan di belakang tirai bagi memuja Ganesha, dewa berkepala gajah. Upacara itu dilakukan bagi mendapatkan restu Ganesha yang dianggap dewa utama dalam agama Hindu. Pada bahagian Arannuvitanam pula, pentas direnjis dengan air suci, ditaburkan bunga serta dihias daun kelapa muda dan daun pokok mangga. Semua ini dilakukan dengan andaian dan kepercayaan bahawa dewa-dewi akan datang untuk turut menonton persembahan yang diadakan. Sebenarnya, saya tidaklah tergila-gila akan drama tari itu yang pada asalnya berkait erat dengan upacara keagamaan Hindu di kuil. Sebaliknya, saya sekadar tertarik pada keunikan seni persembahan masyarakat India. Hal ini mungkin kerana agak mustahil untuk menemui orang India di kampung asal saya. Begitu juga sepanjang saya belajar di sekolah rendah dan menengah. Pengalaman sebenar saya bergaul dengan rakan-rakan kaum India hanya berlaku apabila saya memulakan pengajian di Kolej Siru Kambam, tahun lalu. Apabila Hassan menceritakan kepada saya mengenai keunikan Siru Kambam, saya langsung tertarik untuk mengenalinya secara lebih dekat. Apatah lagi apabila saya mendapat tahu bahawa ada seorang peminat kutiyattam di kampung berkenaan. "Dulu ada juga pelajar dari kolej tu datang berjumpa Encik Menon untuk belajar tentang kathakali," Encik Kutty menceritakan sambil menyangkut baju yang baru diseterika. Saya mengangguk kerana memang ada mendengar mengenai warga emas itu yang berasal dari Kerala. Beliau pernah menjadi kangani di Ladang Tebu Siru Kambam. Kemudian, beliau menjadi penjaga rumah tumpangan di kampung berkenaan. Buku Unknown Facts About Little Known Siru Kambam menyenaraikan Encik Menon sebagai salah seorang tokoh tempatan. Sayang sekali, beliau sudah meninggal dunia sekitar lima tahun lalu. Kalau tidak, tentu banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada beliau. "Bagaimana dengan budaya etnik kamu sendiri? Tentu kaya, bukan?" Pertanyaan Kutty sebentar tadi membuatkan saya menghela nafas dalam-dalam. Sejak dua minggu lalu, saya menceritakan kepada beliau mengenai tarian sumazau orang Kadazan, ambuyat, siga dan kehebatan lelaki etnik Bajau menunggang kuda. "Memang ternyata kita kurang saling mengenali. Apa-apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak masih asing bagi kami di sini," lelaki itu mengakui. "Begitulah juga sebaliknya." Encik Kutty ketawa berdekah. Kemudian beliau duduk di kerusi. Mungkin beliau sudah bersedia untuk menjawab pertanyaan saya mengenai drama tari kutiyattam. "Kamu perlu tahu bahawa saya bukan seorang pakar. Maklumat yang ada pada saya mengenai kutiyattam adalah berdasarkan apa-apa yang saya dengar daripada mendiang bapa saya serta apa-apa yang pernah saya baca dalam buku-buku dari India." Saya mengangguk sambil mengelus rambut panjang yang tidak diikat. Buku catatan dan pen sudah tersedia. Saya sempat menulis nota berdasarkan perbualan bersama-sama Encik Kutty sejak dua minggu lalu. Hasil penjelasan dan penerangan yang diberikan, tahulah saya bahawa drama tari kutiyattam menggunakan Bahasa Sanskrit, Malayalam serta Manipravala iaitu gabungan Bahasa Malayalam dan Sanskrit dalam nyanyian, dialog dan penceritaan. Kutiyattam dipersembahkan di atas pentas disebut kutambalam yang dibina khas di perkarangan kuil, terutama di Kerala. "Masa muda, saya ada juga cuba membuat persembahan kutiyattam bersama kawan-kawan. Akan tetapi, tidak ramai yang berminat. Sama juga nasib dengan kathakali yang cuba diperkenalkan oleh mendiang Encik Menon kepada generasi muda di sekitar Taiping." Encik Kutty menghentikan penceritaan. Saya juga berhenti membuat catatan beberapa saat kemudian. Saya perhatikan bahawa beliau sedang memandang saya dan kening beliau berkerut. "Kamu orang Bajau? Orang Bajau memang berkulit putih, ya?" Saya faham bahawa beliau tidak berniat menimbulkan soal warna kulit menerusi soalan itu. Malah, jauh sekali berniat melakukan gangguan seksual secara lisan. Walaupun baru dua minggu mengenali duda yang tinggal seorang diri itu, saya menyedari sifat-sifat mulia yang dimilikinya. Atas sebab itulah juga saya tidak keberatan untuk datang seorang diri untuk bertemu dengan beliau pada hari ini. "Sebenarnya, encik, ada banyak kumpulan di bawah etnik Bajau. Saya pun kurang mahir tapi keturunan saya adalah orang Simunul," saya cuba menjelaskan setakat yang saya tahu. Sesungguhnya saya terasa amat kurang selesa apabila orang bertanya mengenai latar belakang saya. Kalau boleh, saya tidak mahu bercerita tentang segala kekurangan hidup keluarga dan keturunan saya di Sabah. Saya lebih suka berbalik pada topik struktur persembahan kutiyattam. Pada bahagian Purappad yang bermakna "berangkatlah pergi", nambyar memainkan tala atau ritma pengenalan dengan gendang. Penari melakukan marayilkriya iaitu gabungan nritta dan nrittya tersembunyi di belakang tirai berwarna merah. Penonton dapat melihat bayang-bayang penari sahaja. – Bersambung minggu depan (Uthaya Sankar SB mendapat idea bagi kisah ini hasil kunjungan ke beberapa tempat di Sabah bagi mengendalikan bengkel penulisan cerpen dan kursus galakan membaca sejak 2009. Faksyen ini ditulis pada 30 Januari 2012 dan Bahagian 1 disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Februari 2012. Bandingkan dengan faksyen Laksamana Arjuna. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen.) |
You are subscribed to email updates from di semporna - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan