di negeri sabah - Google Blog Search |
SabahKita.Net » Analisis Pakatan Rakyat menuju PRU 13 <b>di Sabah</b> Posted: 22 Sep 2011 06:47 PM PDT Oleh : Siti Salasiah Salamun Pendahuluan Konvensyen yang bermula dari pukul 1.00 petang hingga 5.00 petang itu bertujuan untuk merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat Negeri Sabah. Lim Kit Siang, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir memberikan ucapan dan sekaligus merasmikan Buku Jingga Pakatan Rakyat. Penerimaan rakyat Sabah terhadap PR pada masa ini adalah pada tahap yang amat baik. Di sesetengah kawasan, wakil PR sama ada terdiri daripada PAS, DAP atau PKR, dijadikan rujukan utama oleh masyarakat setempat untuk memberitahu masalah dan mendapatkan penyelesaian kepada masalah itu, hal ini menjadi simbolik kepada ketidakcekapan wakil rakyat BN yang ada untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Menurut Ketua Penerangan Pas Sabah, Hisamudin Sulaiman yang juga merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pensiangan, apabila beliau turun mendengar keluhan dan permasalahan masyarakat di kawasannya, di samping mendedahkan penipuan yang dilakukan oleh BN, pada ketika itulah masyarakat sedar bahawa selama ini mereka hanya ditipu dan tidak diambil berat langsung oleh wakil rakyat yang dipilih oleh mereka dalam PRU lalu. Beliau juga mendakwa bahawa penduduk kampung memberikan kepada beliau beberapa pucuk surat yang mengandungi berbagai-bagai permintaan daripada penduduk kampung. Beliau menegaskan kepada penduduk kampung bahawa tugas wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya bukan hanya untuk memberikan beras sekilo dua ataupun memberikan 'tandas segera', tetapi ia lebih dari itu, iaitu mendengar dan menyelesaikan permasalahan yang wujud. Namun kedatangan beliau di tempat lain seperti di Tawau, amat meriah dan disambut dengan baik. 20 perkara yang ditawarkan oleh PR untuk rakyat Sabah dalam PRU ke 13 yang diurakan-urakan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini, merupakan antara isu yang sangat genting dan menjadi satu tuntutan kepada PR untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah jika PR berjaya menakluki 'fixed deposit' BN ini. Antara isu yang cukup sinonim dengan rakyat negeri ini, adalah isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Di semua kawasan, terutamanya kawasan pedalaman, seperti di kawasan Pensiangan, kawasan Batu Sapi, dan kawasan Beluran serta di Merotai, penduduk kampung meneroka dan mengusahakan tanah-tanah tersebut untuk dijadikan kawasan petempatan dan pertanian atau penternakan. Apabila tanah-tanah tersebut diusahakan, ia sepatutnya menjadi milik penduduk yang mengusahakannya. Namun, hal yang sebaliknya pula terjadi apabila kerajaan sewenang-wenangnya merampas tanah NCR tersebut. Pampasan yang dijanjikan hanya menjadi 'pemanis mulut' sahaja tanpa ada tindakan susulan. Rakyat dibiarkan turun naik ke mahkamah dan akhirnya kes ditutup. Pembelaan yang sewajarnya dibuat oleh wakil rakyat seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung, tidak terjadi. Malahan wakil rakyat pula hilang entah ke mana. Hanya akan muncul apabila ada program nyanyian, kebudayaan dan acara tari menari yang sememangnya sinonim dengan jiwa wakil rakyat BN negeri ini. Tahun ini, PAS Sabah amat tekun dan gigih untuk memastikan Sabah tidak lagi menjadi 'fixed deposite' BN pada PRU akan datang. Pada Mei tahun ini, Konvensyen PAS Sabah yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan yang bermatlamatkan "merakyatkan PAS di Sabah" telah mengusulkan juga beberapa tindakan lain antaranya untuk menyebarkan isi kandungan Buku Jingga, menarik undi masyarakat bukan Islam, mengenalpasti permasalahan masyarakat setempat, kursus pilihanraya kawasan dan penekanan kualiti ahli. Pada 17 September yang lalu pula, Konvensyen Pas Negeri Sabah telah berlangsung di Yaho Hotel, Kota Kinabalu. Konvensyen pada kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran semua ahli PAS dari seluruh pelusuk negeri ini. Konvensyen yang berlangsung selama sehari ini turut mengupas mengenai Negara Berkebajikan: Tawaran Pas yang telah disampaikan oleh ahli parlimen Pasir Putih Kelantan, Ustaz Muhammad Husin. Menariknya, konvensyen kali ini menggunakan buku MENEGAKKAN PERJUANGAN: Memenangi Pilihanraya Menerusi Persiapan Tarbiyyah yang ditulis oleh Ustaz Datuk Abu Bakar Chik yang turut digunakan ketika Ijtimak Tarbawi DPPP di Rusila Terengganu pada Oktober tahun lalu. Jaringan PAS dan NGO Di Sabah, pilihanraya Parlimen Batu Sapi yang diadakan tahun lalu adalah cerminan kepada usaha PR di Sabah, khususnya di Sandakan. Walaupun ketika itu wakil dari PKR yang menjadi calon bertanding, namun usaha untuk memenangkan calon ini turut dibantu oleh jentera dari semua parti PR. Hasilnya, lebih 3000 pengundi yang mengundi calon PKR ini. Ia merupakan satu 'hint' awal betapa rakyat Sabah mahukan perubahan yang lebih baik dan wakil rakyat dipilih biarlah menjadi mata dan telinga kepada rakyat di parlimen nanti, bukan hanya melihat dan membiarkan rakyat terseksa. Dakwah Islamiyyah turut dapat disebarkan secara 'bil hikmah' melalui PASTI. Rata-rata ibu bapa pelajar yang menghantar anak-anak ke sekolah PASTI, berpakaian tidak menepati syariat Islam dan disinilah peranan guru ditonjolkan. Beretika pakaian yang sopan dan menutup aurat merupakan tuntutan wajib untuk semua guru PASTI. Pada masa ini juga, PASTI beroperasi di seluruh tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tidak hanya tertumpu pada sesuatu kawasan sahaja. PASTI ada di bandar-bandar besar, di flat-flat mewah dan ada juga di kawasan perumahan elit. Hal ini menunjukkan bahawa PAS mampu untuk memberikan pendidikan bukan hanya kepada golongan sasaran tertentu sahaja tetapi merangkumi kepada semua golongan. Ketika syawal baru-baru ini pun, Ketua Menteri turun ke semua masjid yang ada untuk menyampaikan sumbangan dan membuat rumah terbuka menjamu rakyat yang dahagakan janji ketika PRU lalu. Pemberian beras dan barang-barang keperluan lain kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal atau orang kurang upaya sudah menjadi kelaziman untuk wakil BN apabila turun bertemu masyarakat. Malangnya wakil BN menganggap bahawa itu sudah cukup untuk memadamkan janji-janji yang dibuat ketika PRU lalu. Rakyat Sabah sudah bertahun hidup dalam keadaan yang sama, tidak ada perubahan yang drastik walaupun Sabah merupakan negeri yang kaya pada suatu ketika dahulu. Jalan raya misalnya, hanya dibaiki apabila tiba musim pilihanraya, jambatan di kampung hanya akan dibaiki apabila wakil rakyat BN akan melawat kampung tersebut dan jalan yang berlubang hanya akan ditampal apabila Ketua Menteri melawat kawasan tersebut. Fenomena yang amat menyedihkan. Adakah rakyat yang tinggal di kawasan itu tidak berhak untuk mendapat kemudahan yang baik? Kenapa perlu tunggu 'orang besar' masuk ke kawasan tersebut baru semuanya akan dipulihkan? Saya menyarankan agar Ketua Menteri dan jemaah menterinya berulang alik dari Sandakan ke Kota Kinabalu, atau dari mana sahaja, dengan menaiki kereta melalui jalan raya yang ada. Biar mereka turut merasai betapa sistem perhubungan jalan raya yang ada di negeri ini berada pada tahap yang amat teruk. Di kawasan Sandakan, misalnya di kawasan pedalaman Batu 12, sehingga saat ini penduduk masih belum mendapat bekalan air bersih walhal tempat tersebut mempunyai sekolah dan petempatan. Penduduk di kawasan itu juga perlu menunggu 11 tahun untuk mendapatkan sistem perhubungan jalan raya yang lebih baik. Logik atau tidak rakyat perlu menunggu bertahun lamanya untuk mendapat kemudahan yang lebih baik? Sedangkan BN memerintah Sabah lebih lama daripada tempoh itu. Jika anda berkesempatan ke Sandakan, anda akan melihat sepanjang jalan dari Batu 14 hingga ke Batu 12, jalan raya sedang dalam proses pembesaran. Hal ini rentetan daripada jumlah kenderaan yang semakin bertambah. Satu langkah yang amat baik dan disambut baik oleh semua penduduk namun persoalan yang timbul, kenapa sekarang usaha itu dibuat? Kenapa tidak selepas sahaja kemenangan BN di Sabah pada PRU lalu? Bergerak pula ke kawasan bas ekspres Sandakan, anda akan melihat satu kawasan yang amat daif. Kawasan bas ekspress ini hanya terdiri daripada beberapa pondok tiket bas dan tandas serta beberapa gerai jualan makanan. Dan lebih malang lagi, kawasan bas ekspres ini tidak berbumbung. Namun, jika anda ke Tawau atau Kota Kinabalu, anda akan dapat merasakan bahawa stesen bas ekspres yang ada setaraf dengan stesen bas ekspres di bandar utama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Cukup lengkap dan gah. Walhal, Ketua Menteri Sabah adalah anak jati Sandakan, namun mengapa Sandakan seakan-akan dianaktirikan, sedangkan Sandakan merupakan bandar terpenting selain Kota Kinabalu dan Tawau. Hal ini sudah wujud bertahun lamanya tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Perkara ini patut dipandang dengan serius kerana kebanyakan penduduk menggunakan bas sebagai pengangkutan utama. Jika hal ini tidak ditangani dengan baik, ia akan membebankan rakyat. Jika alasan sempit dan tidak ada ruang yang diberikan, ia adalah tidak relevan kerana kemudahan ini adalah lebih penting daripada pembinaan kompleks membeli belah (Harbour Mall) yang semakin pesat dibangunkan di pinggir bandar Sandakan. Jika kompleks ini ada tempatnya di bandar ini, kenapa pula tidak boleh diperuntukkan tempat untuk stesen bas harian? Adakah ini langkah yang betul-betul bijak mengurangkan kemiskinan di Sabah? Penduduk masa kini yang tinggal di kawasan setinggan bagaikan telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja tempat mereka akan dirobohkan. Ketika berkunjung ke Batu Sapi Ramadhan lalu, rumah penduduk di kawasan Kampung Lupak Meluas juga ingin dirobohkan dan tidak ada seorang pun wakil rakyat yang turun menjadi 'front liner' mempertahankan penduduk. Penduduk amat takut jika hak yang sepatutnya dimiliki dirampas dan diberikan kepada PATI. Pendaftaran yang dilakukan juga amat merobek hati penduduk, kerana ada antara penduduk tetap negeri ini yang terpaksa berurusan ke Putrajaya semata-mata untuk mendapatkan kad pengenalan penduduk tetap, tetapi kerajaan sewenang-wenangnya memberikan hak tersebut kepada PATI. Rakyat menghabiskan ribuan ringgit dan perlu menanti bertahun-tahun untuk mendapatkan kad pengenalan, PATI pula mendapat kerakyatan hanya dalam masa beberapa jam. Bukan itu sahaja, kebanjiran PATI di Sabah turut menyebabkan kadar jenayah meningkat. Pecah rumah, mencuri, penyeludupan rokok dan sebagainya turut membimbangkan masyarakat tempatan. Pelbagai isu yang boleh dicanang untuk menjatuhkan BN di Sabah, point utamanya adalah menyampaikan kepada masyarakat tentang maklumat dan kebenaran yang sepatutnya mereka ketahui. Meraih kepercayaan penduduk tidak mudah, tapi apabila kita menyampaikan kebenaran insya Allah mereka akan dapat berfikir pilihan yang lebih baik. Jika tempat mereka tidak boleh diakses menggunakan internet, kita perlu turun menyampaikan. Keadaan di Sabah amat berbeza dengan kawasan lain. Di Sabah ada tempat yang perlu untuk menaiki kereta pacuan empat roda, ada tempat yang hanya boleh menggunakan pengangkutan air, dan ada jalan yang tidak berturap, dan tanah merah. Namun semua ini bukan halangan untuk kita membantu menyampaikan kepada masyarakat. Saya amat yakin dan percaya bahawa rakyat di bawah bayu ini mahukan perubahan kerana semuanya sudah muak menderita di bawah pemerintahan BN yang tidak mempedulikan rakyat. |
Roketkini.com >> Harapan baru untuk <b>Sabah</b> Posted: 26 Sep 2011 11:32 PM PDT Buku Jingga sebagai agenda Pakatan Rakyat telah menyarankan secara am bahawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil di antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. "Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur," demikian menurut buku itu yang menjadi garis panduan pendirian bersama Pakatan. Menjelaskan lagi, Buku Jingga menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan: * Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka; * Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing; * Menjamin hak tanah adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak; dan * Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika. 20 Perkara yang baru Bagi menghalusi lagi Buku Jingga di peringkat negeri Sabah, satu konvensyen Pakatan Rakyat Sabah telah diadakan di Kota Kinabalu pada 16 September lalu yang menampilkan kehadiran Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang. Satu agenda khusus telah diperkenalkan, iaitu Tawaran Baru Untuk Rakyat Sabah – Reformasi Pentadbiran Pakatan Rakyat Sabah yang menyediakan 20 perkara. Ia selaras dengan pendirian Buku Jingga dengan dikhususkan kepada isu-isu utama yang perlu disegerakan penyelesaian yang telah merumitkan kehidupan warga Sabah. Perkara-perkara yang ditawarkan kepada rakyat Sabah itu adalah: 1. Mengiktiraf dan menghormati Islam sebagai agama rasmi manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. 2. Menjunjung kedaulatan Sabah sebagai negeri sah dalam Malaysia dengan mematikan sebarang tuntutan bertindih termasuk menghentikan bayaran kepada negara asing yang membuat tuntutan itu; 3. Menyempurnakan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi mencari menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin. 4. Menjaga, menghormati dan mengiktiraf hak tanah adat dan menarik semula semua kes mahkamah berkaitan, yang dibawa kerajaan negeri sekiranya kes-kes tersebut jelas mencabuli hak tanah adat. 5. Melancarkan program Borneonisasi dalam sektor perkhidmatan awam secara berperingkat-peringkat untuk memastikan jawatan utama dipegang rakyat Sabah. 6. Membawa usul ke Dewan Undangan Negeri untuk menuntut hak Blok L dan M yang dirampas tanpa persetujuan rakyat Sabah, termasuklah mengambil tindakan sivil dan jenayah ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab menyerahkan Blok L dan M tanpa izin dari rakyat Sabah. 7. Mengukuhkan autonomi Sabah dengan menyemak kembali perkara-perkara yang termaktub dalam Perkara 20 untuk memastikan sebarang tindakan bertentangan, dihenti serta merta. 8. Menyempurnakan tuntutan kenaikan royalti hasil minyak petroleum kepada 20% dengan menandatangani perjanjian baru dengan Kerajaan Persekutuan agar bayaran kepada rakyat Sabah adalah berkadar langsung dengan keuntungan tambahan dari hasil petroleum di negeri Sabah. 9. Mengurangkan beban rakyat Sabah dengan mengkaji semula dasar polisi sabotaj yang menyebabkan harga barang di Sabah jauh lebih mahal. 10. Mengkaji semula bidang kuasa mengawal cukai, kewangan, dana pembangunan, tarif dan hasil-hasil Kerajaan Negeri dengan mencari formula pembahagian hasil yang adil dan saksama dengan Kerajaan Persekutuan. 11. Mengkaji semula peranan FELDA, FELCRA dan RISDA di Sabah supaya hasil pengagihan penanaman komoditi dinikmati oleh semua rakyat Sabah. 12. Mewujudkan Yayasan Orang Asal dengan dana RM1 bilion bagi merangsang sosio ekonomi komuniti Orang Asal. 13. Menaikkan bantuan kewangan untuk warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal serta golongan miskin. 14. Mewujudkan Skim Perumahan untuk semua rakyat di Sabah. 15. Menggalakkan pelaburan dan memperkasakan sektor pertanian dan pelancongan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perkhidmatan. 16. Menuntut hak ke atas semua pulau-pulau kecil di perairan Sabah yang tuntutannya belum diselesaikan demi menjamin kedaulatan sempadan Sabah dan hasil minyak dan gas di perairannya. 17. Menubuhkan Tabung Warisan Sabah dengan modal awal RM1 bilion dari wang royalti hasil industri minyak dan gas bagi tujuan program-program pembasmian kemiskinan kepada semua rakyat Sabah di bawah paras kemiskinan. 18. Menubuhkan syarikat minyak dan gas yang dimiliki rakyat Sabah dengan modal awal berbayar RM1 bilion dengan tujuan mewujudkan sebuah konglomerat antarabangsa yang dapat dibimbing oleh Petronas untuk bersaing di persada dunia dan menyediakan peluang pekerjaan serta membina kepakaran rakyat Sabah dalam industri minyak dan gas. 19. Mewujudkan semula jawatan Kementerian Pendidikan, Pengangkutan dan Kesihatan Sabah untuk pelaksanaan polisi yang berkesan dan saksama. 20. Menyemak semula dan memastikan peranan Yayasan Sabah kembali kepada tujuan asalnya. Yakin rakyat akan menyokong Pakatan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Dr Hiew King Cheu, yakin tawaran itu akan diterima baik oleh rakyat di Sabah yang selama ini telah dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional. "Saya yakin kerjasama ketiga-tiga parti Pakatan – PKR, PAS dan DAP – akan memberi semangat kepada warga Sabah untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. Kit Siang pula dalam ucapannya di konvensyen itu menyatakan rakyat di Sabah adalah antara golongan yang berani membuat perubahan kerana telah empat kali menukar kerajaan sejak menyertai penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963. Menurutnya, kemenangan awal telah pun tercapai apabila suara rakyat berjaya memaksa Perdana Menteri memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta berjanji untuk meminda undang-undang lain yang zalim. Walau pun janji-janji Datuk Seri Najib Razak mungkin gagal dikotakannya, beliau menganggap, jika rakyat terus bangun menuntut hak, Perdana Menteri terpaksa tunduk kepada apa yang rakyat mahukan. – Roketkini.com Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from di negeri sabah - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan