ads

Jumaat, 16 September 2011

di negeri sabah - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

di negeri sabah - Google Blog Search


The Malaysian Bar - <b>Sabah</b>, Sarawak yang istimewa

Posted: 15 Sep 2011 02:08 AM PDT

Minggu ini, kita akan menyambut ulang tahun Hari Malaysia. 16 September 1963, tarikh keramat terbentuknya negara yang dinamakan Malaysia. Pada hari tersebut, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Persekutuan Malaysia.

Sarawak diperintah dinasti Rajah Sir James Brooke selama lebih 100 tahun manakala Sabah diperintah Sultan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British sebelum kedua-dua negeri tersebut menjadi koloni Empayar British selepas Perang Dunia Kedua.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, penduduk Sabah dan Sarawak mula berbincang tentang kemerdekaan negeri-negeri mereka. Persoalan tentang Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan dengan negara lain menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya yang diketuai Lord Cobbold untuk mengetahui kehendak penduduk Sabah dan Sarawak.

Pada Julai 1963, "Perjanjian Malaysia" ditandatangani di London di antara Kerajaan-kerajaan British dan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan pihak-pihak lain (termasuk Singapura) untuk membentuk Malaysia, dan perjanjian tersebut termasuk kepentingan dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak yang disyorkan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Parlimen Tanah Melayu kemudian membuat perubahan kepada Perlembagaan tahun 1957 untuk menjadikannya Perlembagaan Persekutuan untuk Malaysia, dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Pada 16 September 1963, lahirlah Malaysia.

Kedudukan Sabah dan Sarawak berlainan sedikit dengan negeri-negeri lain. Seperti dinyatakan, terdapat beberapa kepentingan dan perlindungan istimewa yang unik untuk mereka. Secara amnya, kepentingan dan perlindungan istimewa ini tidak boleh dipinda atau dimansuhkan tanpa mendapat sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta kebenaran Yang di-Pertuan Negeri negeri-negeri tersebut.

Apakah perlindungan dan kepentingan istimewa tersebut? Antara lain, Sabah dan Sarawak boleh mengawal kemasukan dan kemastautinan mereka yang masuk ke dalam negeri-negeri tersebut. Oleh sebab itu, warganegara Malaysia yang bukan berasal dari Sabah dan Sarawak harus melalui imigresen terlebih dahulu. Di samping itu, dari segi profesion guaman, hanya peguam yang bermastautin di Sabah dan Sarawak atau telah memenuhi kelayakan boleh mengamalkan undang-undang di Sabah dan Sarawak. Jadi, apabila kita berkata tentang 'Badan Peguam Malaysia' (Malaysian Bar), kita hanya merujuk kepada peguam-peguam di Semenanjung Malaysia. Di Sabah, persatuan peguamnya adalah Sabah Law Association (SLA) dan di Sarawak pula Advoates' Association of Sarawak (AAS).

Sabah dan Sarawak juga mempunyai Mahkamah Tinggi yang ada bidang kuasa berasingan dinamakan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak juga mempunyai sumber pendapatan dan pemberian kewangan khas daripada Kerajaan Persekutuan dan juga mereka boleh mengenakan cukai jualan sendiri. Contohnya, Kerajaan Persekutuan memberikan pemberian khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak untuk kos perkhidmatan dan pengurusan negeri-negeri tersebut. Mereka juga menerima pendapatan dari tanah, lombong dan hutan, duti hiburan, yuran untuk perkhidmatan spesifik yang diberikan jabatan-jabatan negeri, pendapatan daripada pihak berkuasa tempatan dan bekalan air. Di samping itu, Sabah dan Sarawak juga boleh mengenakan duti import dan eksais ke atas keluaran petroleum, duti eksport ke atas balak dan hasil hutan lain, cukai jualan dan yuran daripada pelabuhan.

Anak negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa melalui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bukan hanya orang Melayu sahaja.

Ini hanyalah sebahagian daripada perlindungan dan kepentingan istimewa Sabah dan Sarawak. Tidak ramai mengetahui wujudnya perlindungan dan kepentingan istimewa tersebut dan status kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan berbanding negeri-negeri lain.

* Penulis ialah seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Rencana ini menggunakan maklumat daripada Buku Panduan Rakyat 7 berkenaan dengan Sabah dan Sarawak, hasil inisiatif Kempen MyConstitution.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved