ads

Sabtu, 13 Ogos 2011

10 di keningau - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di keningau - Google Blog Search


HARTA YANG ADA <b>DI</b> DALAM DAN <b>...</b> - Catholic Diocese of <b>Keningau</b>

Posted: 23 Jul 2011 09:00 AM PDT

Renungan Hari Minggu Biasa Ke – 17 (Tahun A)

1Raj 3:5.7-12; Rom 8:28-30; Mat 14:1-12

"Dia menjual seluruh miliknya, lalu mambeli ladang itu."

Novel, sejarah, cerpen atau tulisan apa saja yang ada kaitan dengan kisah cinta memang mengasyikkan untuk dibaca. Salah satu kisah cinta yang menarik tersebut adalah tentang raja Edward ke 8, pengganti takhta England yang layak. Sama ada dia boleh menjadi raja atau tidak, bergantung kepada keputusannya yang menentukan. Dia jatuh cinta dengan seorang janda warga Amerika, Wally Simpson. Sekiranya ia mengahwini janda tersebut maka dia terpaksa melepaskan takhta tersebut. Kemungkinan pada mulanya raja Edward merasa tertekan terhadap perkara tersebut buat seketika. Namun oleh kerana kasihnya yang begitu mendalam terhadap wanita tersebut, maka takhta tersebut dilepaskannya begitu sahaja. Dia menganggap wanita itu lebih berharga bagi hidupnya dibandingkan dengan takhta yang menjanjikan kuasa dan kemasyuran itu. Keputusannya yang muktamad itu akhirnya menjadi sejarah. Dia rela melepaskan takhta lalu mengahwini Wally Simpson, si jantung hatinya itu.

Kisah cinta raja Edward dari England ini, sekurang-kurangnya membantu kita untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Yesus ketika Ia menceritakan tiga perumpamaan tentang kerajaan Allah di dalam Injil hari ini.

Kerajaan Allah digambarkan sebagai harta yang terpendam di ladang dan mutiara yang sangat mahal nilainya. Peladang yang membajak ladang tersebut telah menemukan harta terpendam. Pedagang yang mencari mutiara akhirnya telah menemukannya. Reaksi kedua orang tersebut sama sahaja, iaitu penuh kegembiraan. Bagi mereka harta karun dan mutiara itu adalah sangat berharga sehingga masing-masing mereka memutuskan untuk menjual segala apa yang mereka miliki hanya untuk membeli ladang dan mutiara tersebut.

Perumpamaan yang ketiga pula adalah mengenai pukat yang dilabuhkan di laut, lalu mengumpulkan berbagai jenis ikan yang baik dan tidak baik. Melalui perumpamaan ketiga itu, Yesus sebenarnya mahu menjelaskan gambaran tentang akhir zaman di mana sang Anak Manusia memberi ganjaran kepada orang-orang yang baik dan menghukum orang-orang yang jahat.

Perumpamaan tentang harta terpendam dan mutiara yang berharga itu pula menegaskan tentang ciri-ciri yang baik yang harus ada pada setiap pengikut Yesus. Pada masa yang sama perumpamaan tersebut juga menunding jari kepada pengikut-Nya yang hanya "hangat-hangat tahi ayam." Seorang pengikut yang sejati adalah yang menerima Sabda Yesus lalu memberi respon kepada-Nya dengan penuh semangat melebihi daripada pengikut-pengikut-Nya yang biasa. Orang-orang yang bersemangat ini sungguh menghayati bahawa kerajaan yang disampaikan oleh Yesus itu adalah merupakan harta dan mutiara yang tidak ternilai harganya yang sungguh memperkayakan kehidupannya serta memberi nilai yang sungguh bermakna dan memberi kebahagiaan yang sejati.

Namun untuk menjadi semakin dekat dengan Tuhan ini pun bukan mudah, perlu menjalani suatu proses yang cukup lama juga. Cerita berikut ini mungkin boleh kita jadikan renungan. Ada seorang peladang yang sudah bertahun-tahun membajak tanah yang kering dan berbatu-batu untuk dapat tetap bertahan hidup, akhirnya menyerah kalah. Dia mendengar khabar bahawa orang-orang mulai menemukan berlian di segala penjuru negeri itu, lalu ia menjual ladangnya itu dan mulai mencari berlian.

Setelah sia-sia mencari bertahun-tahun, ia meninggal dunia tanpa wang satu sen pun dalam keputusasaan. Suatu hari, orang yang dahulu membeli tanah ladangnya melihat ada batu karang yang aneh di sudut ladang itu. Dengan rasa ingin tahu ia membawanya ke dapur dan mencuci serta mengelap batu itu. Rupa-rupanya batu itu adalah batu berlian. Ladang yang nampaknya tidak berguna itu dahulu, sekarang adalah lombong berlian Kimberly di Afrika Selatan. Jika pemilik pertama itu tidak cepat putus asa pastilah harta tersebut menjadi miliknya. Memang betul kata orang tua-tua, orang yang tidak tabah dan tidak sabar itu selalu rugi. Jadi, apapun yang kita lakukan, amalkan sikap yang sabar. Ibu Teresa pernah mengatakan "Kesetiaan lebih penting daripada kejayaan."

Dalam mencari kerajaan Allah ini saya telah bertemu ramai orang yang dahulunya hanyalah umat katolik yang biasa-biasa saja, pergi misa, menyambut sekali sekala dan itu sahaja. Tetapi setelah mengikuti pelbagai kursus, retret, seminar-seminar kerohanian misalnya seminar hidup baru dalam roh, iman dan minda mereka terhadap kerajaan Allah berubah banyak yang membuat kesaksian bahawa mereka betul-betul menyesal kerana mensia-siakan hidup mereka di masa lalu.

Sampai sekarang saya masih ingat kenalan saya bernama Vincent seorang pramugara berhenti daripada kerjayanya yang menjanjikan kemewahan itu sekarang bekerja sepenuh masa di salah satu paroki di Singapura. Demikian juga seorang kenalan, Joseph dari Sarawak yang dulunya bekerja dengan syarikat Shell, gaji mencapai lima angka, tetapi telah dijamahi oleh kuasa roh kudus apabila menyertai pelbagai seminar rohani di dalam mahupun di luar negara, dia mengubah haluan hidupnya dengan bekerja secara sukarela untuk Gereja.

Persoalannya, apakah nilai-nilai dan keutamaan-keutamaan hidup kita ini? Wang, keseronokan, pangkat, nama? Bohonglah kita kalau mengatakan itu semua tidak berguna. Sebab semasa kita di dunia perkara-perkara seperti itu tetap penting bagi hidup kita. Apa yang Yesus mahu kita lakukan selain daripada hal-hal duniawi itu adalah supaya kita jangan pernah melupakan harta kita yang sebenar, iaitu persahabatan kita dengan Tuhan: "Carilah dahulu kerajaan Allah dan kebenaran-Nya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu" (Mt 6:33). (JL)

Cadangan soalan untuk refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

1. Apakah harta yang paling berharga yang sentiasa ada di dekat dan di dalam diri kita masing-masing?

2. Menurut anda apakah keutamaan hidup anda yang paling berharga ketika ini?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

0 ulasan:

Catat Komen

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved