ads

Sabtu, 25 Jun 2011

10 di semporna - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di semporna - Google Blog Search


SEMPURNAKANLAH…..<b>SEMPORNA</b>! | RontogDaily.Com

Posted: 15 Jun 2011 12:11 AM PDT

Hello… Semporna!. Dalam keghairahan pembangunan, pembinaan pelbagai kemudahan yang memanifestasikan keamanan yang dikecapi masyarakat kita seringkali mengundang kealpaan. Pembinaan bangunan dan gedung-gedung perniagaan tentu sahaja mempamerkan kemakmuran ekonomi yang dijelmakan oleh keyakinan para pemodal terhadap prospek ekonomi yang terhidang. Bangunan yang serba indah didirikan. Peluang-peluang perniagaan dijana dan retorik wujudnya peluang pekerjaan yang melimpah ruah dijaja ke hulu ke hilir oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Ironinya, keadaan ini hanya menyedapkan halwa mata memandang. Realiti yang berlaku dalam putaran ganas kehidupan tidak pernah mengambilkira retorik dan omongan kosong. Situasi inilah yang berlaku dalam masyarakat kita, khususnya di Semporna. Bangunan-bangunan baru tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak mengira kawasan daratan atau tepi lautan, bangunan yang tentunya menempatkan gedung-gedung perniagaan milik pemodal-pemodal berkapasiti besar. Lantas, apakah nasib yang menimpa kelompok yang berinisiatif untuk membawa keluarga keluar dari kepompong kemiskinan. Para peniaga kecil-kecilan yang tentunya menjadikan  perniagaan kecil-kecilan yang mereka jalankan sebagai sumber utama pendapatan untuk menyara keluarga, persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Langkah mewujudkan gerai-gerai perniagaan secara tetap dan tersusun tentunya suatu langkah yang bijak dan harus diberi pujian. Sungguhpun langkah ini sepatutnya telah lama diwujudkan oleh pihak-pihak yang berkenaan, namun inisiatif baru ini tentunya melegakan para peniaga kecil-kecilan khususnya, yang selama ini berniaga di tempat dan premis yang tidak terurus, usang dan tentu sahaja tiada kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air. Kita tentunya berharap, sebagaimana harapan para peniaga ini agar pihak-pihak berwajib turut mewujudkan hub-hub perniagaan kecil-kecilan seperti gerai-gerai tersusun ini di lokasi-lokasi lain yang strategik.

Lokasi gerai tersusun dan teratur di Taman Sem Paul ini bukan sahaja menyediakan tempat yang baik dan selesa untuk para peniaga, lebih dari itu, kewujudan gerai-gerai ini tentunya akan mengubah landskap pemandangan para pengunjung dan pelancong sama ada tempatan atau pelancong asing. Berbanding binaan gerai sebelum ini yang dibuat daripada kayu, memperlihatkan pemandangan yang usang, tidak tersusun dan kotor, gerai-gerai tersusun yang baru ini tentunya memberikan manfaat kepada banyak pihak. Selain para peniaga yang tersenyum lebar kerana bakal berniaga di tempat yang lebih selesa, pihak berkuasa tempatan juga bakal mendapat manfaat langsung sama ada dalam bentuk cukai atau usaha mengubah lanskap daerah Semporna ini secara khususnya.

Namun dalam keghairahan menyediakan kemudahan-kemudahan seperti ini, pihak-pihak yang berkenaan juga tidak seharusnya 'terlupa' menguruskan beberapa perkara penting. Pertamanya, pengeluaran dan pemberian lesen-lesen perniagaan khususnya yang menggunakan gerai-gerai serba baru ini harus diuruskan secara telus dan profesional. Seringkali kewujudan kemudahan seperti ini dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila pengeluaran lesen dan kebenaran menggunakan kemudahan ini diperolehi oleh individu yang tidak menjalankan perniagaan sebenarnya. Pihak yang berkenaan pula 'mengalibabakan' gerai perniagaan ini kepada pengusaha sebenar. Akhirnya, peniaga sebenar terpaksa menanggung cukai yang tidak perlu.

Bukankah lebih elok jika peniaga sebenar yang telah lama menjalankan perniagaan kecil-kecilannya dilokasi ini diberikan keutamaan memiliki lesen berkenaan. Jika selama ini mereka sanggup bertahan menjalankan perniagaan sungguhpun dengan keadaan yang sangat daif, maka adalah sangat tidak bermoral untuk memberikan lesen berkenaan kepada individu yang hanya tahu mengaut keuntungan daripada jerit perih peniaga yang bersungguh-sungguh menjayakan kehidupan keluarganya.

Kedua, harus juga diwujudkan sistem untuk membolehkan pemantauan dijalankan oleh pihak-pihak berwajib agar penyewa-penyewa premis ini benar-benar menjalankan perniagaan mereka. Sistem itu kelak bukan sahaja memantau para peniaga semata-mata, malah juga memastikan segala kemudahan yang ada tidak diubahsuai sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak berkenaan. Kemudahan yang ada juga boleh diselenggarakan dengan baik andai wujud sistem yang baik dan telus. Lebih dari itu, mekanisme pemungutan hasil cukai ke atas peniaga-peniaga ini juga diwujudkan agar tidak berlaku ketirisan yang akan merugikan pihak yang berkenaan.

Ketiga, projek ini juga harus dikendalikan secara profesional dan dijadikan 'bahan kajian' untuk mengumpul data-data tertentu yang akan memanfaatkan pengurusan pihak berkuasa tempatan. Melalui pengurusan yang profesional itu, bukan sahaja menaikkan imej pihak berkuasa tempatan sebagai agensi yang berautoriti, tetapi juga memungkinkan inisiatif baru boleh diperkenalkan dan sekaligus membudayakan tabiat inovasi dan kreativiti dalam kalangan pihak-pihak yang berkenaan. Paling penting lagi, 'pengalaman' yang dikutip daripada pengendalian gerai baru ini kelak, akan menyediakan maklumat berharga seandainya pihak berkenaan merencana hub-hub seumpamanya dilokasi yang lain pula.

Semoga inisiatif ini boleh dimanfaatkan. Kombinasi pihak berkuasa tempatan, para peniaga serta juga orang ramai yang berurusan dengan kawasan ini nati akan mendapat manfaat secara langsung daripada kejayaan projek ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved