Ratu
Berani atau tidak? Kes 1:
PUTRI Camelia, 35, sudah tujuh kali bertukar kerja. Bermula sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat pengiklanan, kini berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat konglomerat terkemuka negara. Sememangnya wanita yang mempunyai pakej lengkap, cantik, personaliti menarik, berkeyakinan dan lantang ini, seakan tidak pernah puas.
Bagi Putri Camelia, bukan gaji tinggi yang diimpikan kerana beliau memang dilahirkan dalam kalangan keluarga berada, yang semuanya ada, tinggal di banglo besar, kereta mewah berderet di perkarangan rumah dan apa saja boleh didapati dengan hanya memetik jari. Namun, apa yang diperlukan dalam hidupnya ialah ingin berasa puas hati dengan melakukan kerja yang mencabar. Malah, disebabkan pengalaman dan kelulusannya yang ada, beliau juga sering mendapat tawaran bekerja daripada beberapa syarikat.
Kes 2:
HANI Harnyda, 32, juga tidak kurang hebatnya. Beliau sudah lima kali tukar kerja. Beliau lazimnya hanya kekal bekerja di satu-satu tempat, kira-kira dua tahun saja, cuma bezanya bermula dari bawah sebagai kerani biasa di sektor awam.
Bosan dengan suasana tempat kerja, beliau beralih bekerja di sebuah bank sebagai juruwang. Disebabkan tidak tahan bersesak di jalan, dua tahun kemudian beliau berhenti dan meminta jawatan sama di bank lain berhampiran rumahnya, di Cheras.
Sikapnya yang cepat bosan dan tidak mahu gaji pada takuk sama, membuatkan beliau sekali lagi beralih kerja, kali ini ke syarikat perkapalan. Nasibnya baik ditawarkan jawatan pegawai akaun di situ dengan gaji tiga kali ganda daripada sebelumnya.
Selepas dua tahun di situ, Hani Harnyda, bergaduh pula dengan majikannya dan bertindak mencari kerja lain. Kali ini, beliau ingin mencuba bidang lain berbeza daripada yang dilakukan sebelum ini. Nasibnya baik diterima sebagai pegawai eksekutif pemasaran, yang lebih banyak berurusan dengan orang ramai. Setakat ini, peliknya beliau masih bertahan selepas empat tahun di tempat sama.
Kes 3 :
BERBEZA dengan Intan Suzyanna, 40, selain terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja di Ipoh, tangga gajinya sebagai setiausaha agak rendah, beban tugas menimbun, majikan cerewet, suasana tempat kerja tidak menarik, cemburu dan wujud tikam menikam sesama kakitangan.
Intan sebenarnya sudah bosan dengan semua permasalahan itu, namun, dia masih mampu bertahan kerana tidak yakin untuk mencari kerja lain, sedangkan umur semakin meningkat.
Tambahan pula, jika bekerja di tempat baru, lain pula kerenah bakal ditanggungnya. Walaupun bebanan tugas di rumah banyak, terpaksa bersendirian menjaga tiga anak, beliau tetap meneruskan kerja demi menambah pendapatan keluarga.
BERTUKAR atau melompat kerja mungkin tidak asing kepada sesetengah individu. Mereka mempunyai pelbagai alasan untuk melakukannya seperti ingin meningkatkan kerjaya, gaji, pangkat yang tinggi, ingin lebih kebebasan dan cabaran.
Jika diteliti, senario melompat kerja juga semakin hebat pada zaman moden ini berbanding pada dekad sebelumnya. Pembangunan industri pekerjaan dengan pelbagai lambakan jawatan, gaji, insentif dan keistimewaan menjadikan ramai pencari kerja tidak akan `melekat' di kedudukan dan tempat yang sama.
Malah, wanita pada zaman moden ini dilihat lebih berani untuk melompat kerja kerana mereka juga mempunyai banyak kelebihan dan berpendidikan tinggi. `Saham' wanita ini sama ada yang bujang atau sudah berumah tangga tetap tinggi jika masing-masing bijak menggunakan ruang yang ada untuk memajukan diri.
Kini, kewujudan Jobstreet.com.my, memudahkan pencari kerja mendapatkan jawatan bersesuaian dengannya. Malah, memang ada individu yang suka menyelak akhbar untuk mencari kerja. Apa saja bidang pekerjaan ditawarkan dalam laman web itu, mereka daftar. Tidak kurang juga yang suka `test market' untuk lihat sejauh mana `lakunya' mereka dalam pasaran pekerjaan.
Tidak kurang juga bagi mereka yang berkelulusan tinggi dan banyak pengalaman, sering kali menjadi buruan majikan untuk mendapatkan khidmat mereka.
Sementara itu, ada pula individu yang terus setia dengan pekerjaannya dan tidak berfikir untuk melompat kerja kerana tiada alasan berbuat demikian. Dalam situasi lain, ada individu tidak mampu bertahan bekerja di tempat sama, dengan gaji dan pangkat tidak naik, tetapi takut untuk bertukar kerja kerana tidak yakin dengan diri dan pelbagai sebab lagi.
Pada dasarnya, perjalanan dan perkembangan kerjaya seseorang berbeza-beza. Setiap individu mempunyai prinsip tersendiri dalam menentukan perjalanan kerjaya dan bagi mereka yang ingin mendapat pencapaian terbaik akan berusaha melakukannya, termasuk melompat kerja untuk memenuhi impian itu.
Lazimnya, orang yang melompat kerja pasti menghendaki peningkatan dalam kerjaya sama ada dari gaji atau pangkat. Namun, bagi yang tidak bersedia dan tidak mahukan anjakan paradigma dalam hidupnya, dia akan kekal pada tempatnya tanpa sebarang peningkatan.
Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata perjalanan kerjaya seseorang itu boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pada peringkat awal bekerja, pertengahan dan penghujung.
Katanya, pada awal pekerjaan, setiap individu biasanya ingin bekerja kerana ingin menstabilkan ekonominya dan soal gaji menjadi pertimbangan utama bagi memastikan mampu menampung kehidupan seharian khususnya makanan, pakaian serta tempat tinggal.
Pada peringkat awal, individu itu akan berusaha untuk menunjukkan kewibawaannya, meningkatkan pengetahuan dan pengalaman, selain memperkukuhkan keserasian dalam kerjayanya serta sedia mengikut telunjuk majikan.
"Pada peringkat pertengahan, lain pula keutamaannya. Apabila sudah stabil dengan kerjaya mereka mula melihat segala aspek dalam persekitaran kerjanya. Sentiasa ingin mencari yang lebih baik daripada yang diperoleh.
"Jika sudah berumahtangga, mereka akan pastikan gaji mencukupi, jarak dari rumah ke tempat kerja, keanjalan waktu bekerja sesuai bebanan tugas dengan tenaga dicurahkan kepada majikan. Kemudian, mula berfikir adakah gaji diterima berbaloi," katanya.
Akhirnya, kerjaya pada peringkat penghujung, lazimnya, Haslee menambah, individu semakin matang dalam kerjaya, inginkan kebebasan dan mahu lebih kuasa bagi memperkukuhkan kedudukan.
Dengan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan keyakinan yang ada individu itu akan lebih bersemangat untuk mencari kerja baru demi meningkatkan kerjayanya.
Malah, suasana persekitaran di pejabat, hubungan dengan majikan dan rakan setugas juga memainkan peranan dalam mendorong seseorang untuk melompat kerja.
"Majikan yang tidak bertimbang rasa, susah naik pangkat dan gaji, rakan sekerja yang suka dengki, cemburu, budaya kerja membosankan dan tidak tahan tekanan dengan kerenah itu menguatkan lagi keinginan mencari iklim pekerjaan yang lebih kondusif. Sudah pasti apabila ingin bertukar kerja gaji yang ditawarkan lebih tinggi daripada yang diperoleh sekarang," katanya.
Haslee Sharil berkata, personaliti seseorang yang mudah mesra, berkeyakinan, ada kredibiliti, sukakan cabaran, mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan memperluaskan jaringan hubungan lebih memudahkan memasuki pasaran pekerjaan.
Ada pula wanita (isteri) yang tidak mahu berjauhan dengan suami terpaksa melompat kerja kerana ingin mengikut mengikut suaminya yang ditukarkan ke negeri lain.
"Bagaimanapun, tidak semua individu berani melompat kerja sesuka hati meskipun berhadapan dengan pelbagai masalah dan kerenah di tempat kerja.
"Mungkin tidak yakin pada diri, rendah diri dan tiada motivasi boleh melemahkan semangat mereka untuk menerokai bidang pekerjaan yang baru. Sebab itu, ada yang kita lihat walaupun sudah terlalu bosan kerja yang sama dilakukan sejak bertahun-tahun dan berhadapan dengan tekanan, tetap kekal di situ.
"Tapi jangan membuat sebarang spekulasi kepada individu yang boleh bertahan di tempat sama. Mereka mungkin tidak ada masalah langsung di tempat kerja, berpuas hati dengan gaji dan selesa. Jadi mereka tiada alasan atau faktor pendorong untuk melompat kerja," katanya.
Senario melompat kerja sebenarnya berlaku di mana-mana saja kecuali di Jepun, rakyatnya sangat setia dengan syarikat atau organisasinya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin, berkata wanita lebih berani melompat kerja berbanding lelaki disebabkan rasa selamat kerana mempunyai suami untuk menampung kehidupan jika berlaku apa-apa berlaku dalam kerjayanya.
Berdasarkan pemerhatiannya, individu yang paling kerap melompat kerja ialah mereka yang bekerja dalam bidang perhubungan awam dan pemasaran.
"Golongan ini lebih ramai jaringan hubungan. Apabila kerap berjumpa dengan pelanggan akan meningkatkan reputasi dirinya sendiri untuk ditawarkan kerja baru," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan