10 di kinabatangan - Google Blog Search |
Pencemaran Sungai <b>Kinabatangan</b> Dikawal | Khabar Kinabalu Posted: 30 Oct 2013 02:38 AM PDT Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JAS) akan memantau dan membuat pemeriksaan ke atas kilang-kilang kelapa sawit di kawasan Lembangan Sungai Kinabatangan berikutan laporan sungai terpanjang Sabah itu dicemari operasi dan aktiviti kilang-kilang berkenaan. Pengarahnya Datin Hanili Ghazali berkata pemeriksaan ini termaktub dalam undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan di bawahnya untuk memastikan pencemaran terhadap alam sekitar dikawal. Laporan akhbar tempatan memetik pendapat WWF-Malaysia bahawa kini tepat pada masanya untuk meletakkan institusi yang kuat bertindak sebagai badan utama dalam melindungi biodiversiti Kinabatangan berikutan dakwaan kilang minyak sawit dan ladang kelapa sawit di kawasan itu menjadi penyebab utama. Sungai Kinabatangan dianggap sebagai koridor kehidupan kepada lebih daripada 250 spesies burung, 50 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 1,056 spesies tumbuhan pemuliharaan yang terkenal di dunia – Tanah Lembap Tapak Ramsar Segama. Bagaimanapun kawasan itu kini dikatakan berdepan penurunan habitat dan indeks kualiti air menurun disebabkan pencemaran. Sementara itu Hanili berkata industri kelapa sawit merupakan satu daripada industri utama yang menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negeri Sabah selain menyediakan peluang pekerjaan kepada para penduduk di negeri ini. "Kerajaan memang sedia maklum akan kesan industri ini, khususnya operasi kilang kelapa sawit, kerana jika tidak diurus dengan baik, ia berpotesi menyebabkan pencemaran terhadap udara, tanah dan air," katanya kepada Bernama. Beliau berkata kerajaan amat prihatin terhadap permasalahan ini dan dengan itu sentiasa mengambil tindakan proaktif yang sewajarnya menerusi JAS (persekutuan) yang bertanggungjawab dalam mengawal operasi kilang kelapa sawit di negara ini. Antara tindakan yang diambil oleh JAS bagi memastikan operasi kilang kelapa sawit diurus dengan baik dan mengawal pencemaran – sungai, udara, buangan terjadual, pembakaran terbuka – ialah semua pihak harus patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) serta peraturan-peraturannya. Peraturan itu mengambil kira kawalan dan pencegahan pencemaran yang berkesan sewaktu di peringkat cadangan pembinaan kilang kelapa sawit itu sendiri. Peraturan itu juga memastikan dasar kerajaan Sabah dilaksana iaitu menghendaki semua kilang kelapa sawit yang baharu mematuhi standard pelepasan efluen tertentu, melepaskan efluen terawat secara pengairan ladang dan bukannya melepaskan efluen itu ke dalam sungai. Setiap kilang kelapa sawit dikehendaki memasang Sistem Pengolahan Efluen dan mengguna pakai beberapa teknologi terkini untuk mencapai standard pelepasan efluen yang lebih ketat. Kilang kelapa sawit sedia ada juga dikehendaki mempertingkat teknologi sedia ada dalam kilang dengan menukar kepada kaedah pelupusan efluen kilang yang sudah dirawat secara pengairan ladang. Pelepasan efluen dari kilang kelapa sawit diperketat di dalam kawasan lembangan sungai sensitif seperti di lembangan Sungai Kinabatangan, Sungai Muanad dan Sungai Segaliud dengan meminda syarat lesen semua kilang kelapa sawit yang beroperasi dalam kawasan berkenaan. Peraturan sedia ada di bawah AKAS 1974 juga menetapkan/membenarkan pelepasan Biological Oxygen Demand (BOD) 100mg/l bagi efluen kilang kelapa sawit tetapi kerajaan negeri telah menjadikan Sabah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menetapkan dasar pelepasan BOD 20 mg/l. Ini secara tidak langsung akan dapat membantu memulihkan sistem ekologi sungai di Sabah. Kilang kelapa sawit juga dikehendaki menjalankan pemantauan prestasi ke atas semua komponen sistem pengplahan efluen bagi memastikan bahawa proses pengolahan efluen berfungsi dan berupaya untuk merawat efluen yang dihasilkan bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan. Di bawah peraturan yang ditetapkan juga kilang kelapa sawit dikehendaki melantik orang yang berwibawa untuk mengendali dan menyelenggara sistem pengolahan efluen, alat kawalan pencemaran udara dan menguruskan buangan terjadual. Untuk tujuan ini, JAS melalui Environment Institute of Malaysia (EiMAS) telah mewujudkan skim pensijilan melalui penganjuran kursus kompetensi bagi membantu kilang kelapa sawit memenuhi keperluan melantik orang yang berwibawa itu. Akhir sekali kilang kelapa sawit dikehendaki memasang Continuous Emission Monitoring System (CEMS) bagi memantau pelepasan asap dan habuk ke udara secara berterusan untuk memastikan pelepasan itu mematuhi standard yang ditetapkan. ~bernama |
You are subscribed to email updates from di kinabatangan - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan