ads

Selasa, 8 Oktober 2013

10 di penampang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di penampang - Google Blog Search


Tanah sawah <b>di Penampang</b> dijual seekar RM1.7 juta | Borneo Herald

Posted: 12 Aug 2013 10:47 PM PDT

Oleh Percy Goliu
PENAMPANG: Segala-galanya adalah mengenai wang. Dan wang mengubah segala-galanya. Tidak hairanlah ramai pemilik sawah padi di Penampang menjadi 'jutawan mini segera' selepas menjual seekar dua tanah nenek moyang mereka kepada orang tengah yang kemudian membangunkan tanah itu untuk tujuan komersial.

Sawah padi di Kampung Kodundungan-Goliput, Jalan Pintas Penampang di sini, dikatakan dijual pada harga di antara RM1.5 juta dan RM1.7 seekar. Kawasan ini yang 10 tahun yang lalu masih aktif ditanam dengan padi, kini ditumbuhi dengan pelbagai bangunan komersial dan infrastruktur.

Kawasan ini dulunya merupakan penanaman padi terbesar di Penampang dengan keluasan melebihi 100 hektar. Dan walaupun diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan padi, ia tidak menghalang pemilik tanah daripada menjualnya kepada orang luar untuk mendapatkan wang yang cukup lumayan dan dengan sekelip mata.

Lebih 10 pemilik tanah sawah di sini yang dikatakan menjual tanah sudah menjadi jutawan segera. Nilai hartanah di sini setakat ini adalah paling mahal berbanding di daerah lain negeri ini.

Kecuali nilai tanah di kawasan Kota Kinabalu yang mana harganya boleh mencecah sehingga empat kali ganda mengikut kiraan inci persegi daripada yang dijual di Penampang.

Di kampung lain, harga tanah sawah dikatakan bernilai di antara RM200,000 dan setengah juta ringgit bagi satu ekar. Ia masih merupakan angka yang cukup lumayan bagi petani tradisional di daerah ini.

Namun, orang tengahlah yang paling banyak mengaut keuntungan dalam urusan jual beli tanah ini.

Persoalannya sekarang, apakah masa depan Penampang sebagai pengeluar beras atau sekurang-kurangnya mampu menyara diri jika pembangunan yang rancak lagi 'gila' sekarang tidak dirancang dengan betul-betul dan secara mampan?

Jawapannya ialah amat membimbangkan! Pada tahun 1995, rekod menunjukkan di Penampang dan Kota Kinabalu ada seluas 2,500 hektar kawasan penanaman padi yang aktif.

Terbaru, angka menunjukkan penurunan yang amat mengejutkan iaitu hanya 710 hektar sahaja lagi yang tinggal. Kebanyakan, iaitu 614 hektar sawah padi itu terletak di Penampang manakala selebihnya di Ulu Menggatal dalam kawasan Kota Kinabalu.

Orang tengah

Lebih separuh daripada tanah-tanah sawah ini jatuh ke tangan orang tengah yang kemudian menjualnya kepada ahli perniagaan yang sentiasa rakus mengaut keuntungan dengan membina atas tanah itu bangunan untuk kedai, pejabat dan perumahan serta infrastruktur lain.

Pegawai Pertanian Daerah Penampang dan Kota Kinabalu, Joseph Fung berkata, Jabatan Pertanian sememangnya ada banyak rancangan untuk mengekalkan kegiatan menanam padi tetapi mereka tidak dapat melakukan apa-apa jika pemilik tanah memutuskan untuk menjualnya kepada orang lain.

Daerah Penampang terletak kira-kira 15 km dari pusat Kota Kinabalu dan bandarnya dikenali sebagai Donggongon. Tidak jauh dari Donggongon, kita masih boleh melihat sawah padi cuma kali ini ia ditanam di antara timbunan tanah dan konkrit yang sudah dan sedang dalam pembinaan.

Pembinaan jalan raya yang merentasi kawasan sawah padi seluas lebih 100 hektar ini mungkin menyebabkan banyak pemilik tanah didekati pemaju dan memujuk mereka untuk menjual tanah itu.

Jalan raya besar selalunya membuka prospek pembangunan dan inilah yang berlaku kepada Kodundungan-Goliput walaupun Jabatan Pertanian mewartakannya sebagai kawasan pemuliharaan padi.

"Walaupun sudah digazet, ia tidak menghalang sesiapapun untuk melakukan apa saja mereka buat dengan tanah mereka. Malangnya, Jabatan Pertanian tidak ada kuasa untuk menghentikan sebarang tindakan individu sama ada menghalang mereka menjual tanah atau menentukan bentuk pembangunan yang perlu dimajukan.

Itu adalah tanah mereka dan mereka berhak memutuskan apa yang perlu dibuat dengannya," kata Joseph ketika ditemui di sini.

Menurutnya, jabatan tidak ada peruntukan kuasa dalam undang-undang atau pun mempunyai 'jalan keluar' yang boleh menyekat mana-mana individu atau organisasi daripada 'merosakkan' sawah padi.

Selain kerajaan, pihak yang ada kuasa ialah Penolong Pemungut Hasil Tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur (PPHT).

Akibat tanah dijual, banyak sawah padi ditimbun di sana-sini, bukit dipotong untuk mengambil tanah bagi tujuan untuk menimbun. Hakisan berlaku dan banjir pun mudah melanda.

Geografi

Memandangkan bentuk geografi Penampang berupa lembah dengan banyak kawasan tanah rata rendah berdekatan dengan pekan dan kemudahan infrastruktur, maka banyak sawah padi terbiar ditimbus dengan tanah untuk dimajukan.

Banyak pemandangan seperti ini boleh dilihat di sepanjang Jalan Minintod dan Terawi. Begitu juga di kampung seperti Kolopis di mana bukit-bukitnya banyak yang dipotong.

Bukan saja timbunan tanah dan bukit dicantas ini mencacatkan pemandangan tetapi kesan lebih bahaya ialah mengakibatkan banjir kilat setiap kali hujan turun.

Penduduk di Kampung Kibabaig yang tinggal berdekatan dengan pekan Donggongon, akan sentiasa susah hati setiap kali hujan lebat, walaupun ia turun hanya dua jam!

Kerja-kerja menimbun di sana sini di kawasan ini telah menyekat aliran sungai kecil dan akibatnya, hujan dua jam boleh menyebabkan banjir agak teruk di kawasan yang agak rendah.

Ini adalah antara masalah alam yang paling ditakuti di daerah yang ada kira-kira 150,000 penduduk kerana, 20 tahun yang lalu sebelum ada pembangunan rancak di sini, banjir tidak mudah melanda.

"Kecualilah, jika aktiviti menimbun yang sedang rakus dilakukan dihentikan, mengawal aktiviti perbandaran, memperdalamkan sungai-sungai dan sebagainya untuk mengelak banjir, bencana alam buatan manusia ini boleh dielak," kata penduduk di sini.

Perancangan bertanggungjawab dengan memandang jauh akan kesan jangka panjang kawasan yang dimajukan ini mesti diamalkan bermula sekarang jika tidak mahu berlaku bencana besar nanti.

Namun, jika pemilik tanah sudah mula menjual tanah-tanah mereka, maka pembangunan tidak akan dapat dihentikan lagi dan bila ada pembangunan, maka bencana pasti berlaku.

Malah, ada sumber mengatakan bahawa pembangunan mega di Penampang sudah dirancang sehinggalah ke kawasan tanah tinggi di Kampung Buayan di Jalan Tambunan, membabitkan kawasan yang amat besar. Pasti menarik apa yang akan berlaku menjelang 2030 nanti.

Pantau
Menurut Joseph, sejak beberapa tahun ini, pihaknya dengan kerjasama PPHT sudah mula memantau dan mencegah kegiatan memotong tanah bukit untuk menimbun tanah yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

"Apabila kami mengadu kepada PPHT, mereka akan mengambil tindakan menghentikan syarikat yang melakukan kerja-kerja menimbun dengan memotong tanah dari bukit.

"Namun, mereka mengubah modus operandi dengan menggunakan tanah runtuhan atau tanah kelompok yang dijumpai di sana-sini.

Mereka menggunakan wang untuk membeli tanah dan kemudian menimbunnya tanpa kelulusan," kata Joseph menambah bahawa bila tiba masa mahu memajukan kawasan itu, barulah mereka cuba mendapatkan kelulusan daripada Majlis Daerah Penampang.

Sebelum memberi kelulusan, Majlis Daerah akan mendapatkan maklum balas daripada beberapa jabatan termasuk Jabatan Pertanian. Di sinilah mereka sedar timbul masalah mendapatkan kelulusan.

Joseph mengaku banyak kes itu berlaku di daerah ini. Walaupun nampak suram, kawasan penanaman padi yang diwartakan di Jalan Pintas Penampang masih boleh diusahakan menjadi sesuatu yang boleh menguntungkan semua pihak. Ia boleh dijadikan destinasi pelancongan.

"Saya cadangkan kawasan Kodundungan-Goliput yang diwartakan sebagai pemuliharaan padi dikekalkan dalam keadaannya sekarang.

Persekitarannya boleh dibangunkan tetapi biarlah kawasan padi dikekalkan dengan hanya memperbaiki kemudahan pertanian.

"Pelancong boleh melawat sawah padi di sini. Ramai rakan saya dari luar negara berasa tertarik dengan pemandangan bandaraya kita sebab semuanya ada dalam satu kota.

"Apabila mereka datang ke daerah ini melalu Jalan Pintas, mereka suka pemandangan menghijau sawah padi ketika ia tidak ditanam dan warna keemasan ketika padi sedang masak," katanya menambah jabatan tidak akan berputus harapan menentu arah industri pertanian daerah ini yang mempunyai banyak potensi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved