ads

Khamis, 22 Ogos 2013

10 di kota belud - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di kota belud - Google Blog Search


sabahkini.net: MISSION IMPOSSIBLE ARD <b>DI KOTA BELUD</b>?

Posted: 25 Jun 2013 06:36 AM PDT



Oleh : SITI ZUBAIDAH ABDULLAH
KOTA BELUD : Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bertekad membangunkan daerah Kota Belud secara menyeluruh untuk tempoh lima tahun mendatang berikutan keyakinan penduduk memberikan mandat kepadanya pada pilihan raya umum lepas.
Anggota Parlimen Kota Belud itu berkata beliau sedang merancang projek-projek mega untuk meletakkan daerah itu berada di landasan yang betul bagi menikmati tahap pembangunan yang rancak sepanjang tempoh itu.
"Saya nampak masa depan yang cerah untuk membangunkan Kota Belud sedang berada dalam keadaan cukup bersedia yang kini berada di ambang pembangunan rancak bagi tempoh lima tahun ini," katanya kepada Bernama di sini.
Mengenai prospek pembangunan di Kota Belud yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, Abdul Rahman berkata beliau dan kerajaan negeri mempunyai wawasan yang jelas dalam meneruskan agenda pembangunan di daerah itu.
Katanya antara projek yang sedang dirancang ialah Projek Pusat Sokongan Industri Minyak & Gas di Teluk Usukan, projek Agropolitan Kota Belud-Pitas, projek perumahan rakyat, Kota Belud akan dikenali sebagai Jelapang Padi dan lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak sepanjang 2,300km yang akan melintasi kawasan Kota Belud.
Abdul Rahman berkata Teluk Usukan bakal muncul sebagai hab logistik baharu di rantau Asia Tenggara menerusi usaha menjadikan kawasan itu sebagai pusat sokongan industri minyak dan gas.
Beliau berkata selain itu, projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Sabah serta Petronas Asian Supply Base berkenaan akan mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
Beliau mahu menumpukan usaha untuk meningkatkan penyertaan warga tempatan terutama golongan muda dalam aktiviti perindustrian minyak dan gas di Teluk Usukan.
"Ini akan membantu meningkatkan pendapatan, kemahiran serta kemampuan warga tempatan khususnya golongan muda yang ingin menceburkan diri dalam industri minyak dan gas serta sektor berkaitan," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan muda agar bersedia untuk mempelajari dan mengikuti kursus berkaitan agar dapat menyumbang kepada pembangunan sektor itu yang akan berkembang pesat dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Apa yang saya risaukan kini ialah tentang kesediaan golongan muda untuk menjadi modal insan kerana tiada guna kita mempunyai projek- projek mega yang sedang berjalan, tetapi siapa yang mendapat manfaat ialah penduduk luar Kota Belud (KB).
Persoalannya sekarang rakyat KB harus bersedia atau tidak kerana industri minyak dan gas secara teknikalnya mengambil kemahiran golongan itu yang harus bersedia sekarang dengan mengambil kursus-kursus berkaitan projek itu," katanya.
Justeru itu, katanya, beliau menerusi Pejabat Parlimen Kota Belud akan bekerjasama rapat dengan Petronas Asian Supply Base untuk mengenal pasti golongan muda yang layak untuk menceburi industri berkaitan itu.
Sebagai menteri bertanggungjawab dalam perumahan, beliau sedang mengenal pasti tapak lokasi sesuai untuk membina lebih banyak projek perumahan rakyat termasuk lebih 500 unit rumah di Sabah termasuk Kota Belud bagi memberi manfaat kepada penduduk berpendapatan sederhana di negeri ini.
"Kementerian akan mempercepatkan pembikinan rumah-rumah mampu milik untuk semua rakyat Malaysia dan kami komited untuk memastikan projek-projek perumahan negara siap dengan jayanya terutama lebih banyak projek perumahan rakyat di negeri ini," katanya.
Mengenai Kota Belud yang akan muncul sebagai satu daripada empat kawasan jelapang padi baharu, beliau berkata perisytiharan jelapang padi di dalam Belanjawan 2013 itu akan meningkatkan sasaran lebih 10 tan metrik pengeluaran hasil padi sehektar yang dijangka dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini.
Menurutnya perubahan pembangunan yang pesat termasuk soal kemudahan asas dan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, pasar tani baharu dan bekalan air bersih sejak beberapa tahun lepas cukup membuktikan kemampuan Barisan Nasional (BN) dalam membawa perubahan positif kepada rakyat Sabah.
Katanya kerajaan BN akan terus mengeluarkan rakyat daripada kancah kemiskinan dan yang paling utama menentang sebarang usaha yang dibuat oleh parti pembangkang yang hendak menimbulkan huru-hara di negara ini.
"Kami daripada Barisan Nasional menjanjikan lima tahun yang penuh gilang-gemilang kepada penduduk Kota Belud, dan sesungguhnya usaha kami dalam menbawa pembangunan di sini nyata dapat dinilai oleh rakyat sejak empat setengah tahun yang lepas," katanya.
Kota Belud yang terletak kira-kira 70 km dari Kota Kinabalu berada di unjuran kaki Gunung Kinabalu telah dipilih menjadi tuan rumah Pesta Kaamatan tahun ini yang juga menyaksikan pelancaran Projek Pusat Sokongan Industri Minyak & Gas Teluk Usukan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Abdul Rahman, antara menteri baharu yang dilantik di dalam Kabinet Persekutuan, yang membariskan enam menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah. (Bernama)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved