ads

Isnin, 25 Februari 2013

10 di kota kinabalu - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

10 di kota kinabalu - Google Blog Search


Suka dan duka pemandu teksi <b>di Kota Kinabalu</b> - CJMY - Citizen <b>...</b>

Posted: 20 Feb 2013 09:13 PM PST

Jam tujuh pagi di pekan Tanjung Aru, James Kilos sudah memastikan teksinya selesa, bersih dan berkilat, siap untuk mencari rezeki.

Beliau bersedia menerima pelanggan tanpa mengira warna kulit atau kewarganegaraan, kerana baginya, rezeki tidak patut ditolak.

Begitulah kehidupan James setiap hari dalam mencari nafkah untuk menampung kehidupan isteri, seorang anak lelaki serta tiga anak perempuan yang kini sudah memasuki usia remaja.

James yang sudah berumur 40 tahun dan berasal dari Penampan, mengakui bahawa beliau selesa dengan kerja ini.

Bapa kepada empat orang anak remaja ini cukup murah dengan senyuman

Dengan pendapatan bersih harian sebanyak RM 80, James berkata, kerja ini turut memberikan beliau peluang untuk bertemu dengan ramai orang selain dan mempunyai masa kerja yang fleksibel.

"Kadang-kadang ada perkara baru yang saya dengar atau belajar daripada mereka," ujar James yang sering bertemu dengan pelancong asing dan penduduk tempatan.

Pada masa yang sama James turut mengambil kesempatan memperkenalkan tempat-tempat riadah di Kota Kinabalu kepada pelancong, tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Sedang membersihkan teksi demi keselesaan pelanggan

Menurut James, kepuasan untuk berbakti  kepada negeri tercinta adalah penting dan dia menganggap ianya suatu sumbangan kepada sektor pelancongan.

Selain itu, beliau turut merasa seronok melakukannya.

James turut mengakui, bahawa kadang kala beliau ada menerima sedikit tip dari pelanggan walaupun tidak mengharapkannya.

Sebelum ini, James  bekerja dalam sektor perhotelan tetapi mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi perhatian sepenuh masa dalam bidang ini.

Beliau sebenarnya sudah mula bekerja secara sambilan sebagai pemandu teksi ketika masih bekerja di salah sebuah resort terkemuka.

" Saya telah bekerja sepenuh masa sebagai pemandu teksi selama dua tahun.

"Kerja ini membolehkan saya membahagikan masa di antara urusan rumah dan lain-lain.

"Selain itu, permintaan yang semakin tinggi juga adalah sebab saya berhenti kerja dari hotel."

" Biasanya, saya akan mula kerja pada jam tujuh pagi sehingga sembilan pagi.

"Selepas itu saya akan balik  untuk urusan-urusan rumah. Setelah selesai, saya akan sambung semula kerja," tambah beliau.

Dalam tempoh dua tahun ini, antara perkara yang dapat dikenal pasti James adalah sikap pelanggan terutamanya dalam aspek kebersihan.

Pelanggan negara asing, katanya, adalah lebih baik dalam aspek ini jika dibandingkan dengan pelancong daripada negara sendiri.

James berkata, " Mereka lebih mengutamakan  kebersihan dan ini boleh dilihat daripada keadaan dalam teksi yang bersih serta tiada sampah yang dibuang.

"Mereka membuang semua sampah sarap mereka ke dalam bekas plastik dan kemudiannya dibawa keluar apabila mereka turun."

" Berbanding dengan pelanggan tempatan atau dalam negara sendiri, keadaan dalam teksi bersepah dengan sampah yang dibuang tidak menentu." kata James yang menerima semua itu dengan hati terbuka.

Tetapi, walaupun seronok, James mengakui kerja itu juga berhadapan dengan seribu macam cabaran.

Antaranya ialah persaingan daripada teksi-teksi lain yang semakin meningkat bilangannya.

Pertambahan bilangan teksi juga datangnya daripada teksi-teksi haram yang beroperasi menggunakan kenderaan peribadi, katanya.

Selain itu keadaan cuaca, keadaan jalan yang sesak dengan kenderaan dan perangai penumpang juga merupakan cabaran pada mereka.

Bersedia menghadapi cabaran sebagai pemandu teksi

Berkenaan dengan perangai penumpang  James berkata, orang Asia lebih baik perilakunya walaupun mereka lemah dari aspek kebersihan.

Manakala pelanggan dari negara luar pula seperti Korea dan Hong Kong suka melakukan tawar menawar untuk harga tambang.

" Ada juga yang marah apabila mereka tidak diberikan tambang seperti yang diberi kepada orang tempatan. Ada juga yang marah apabila terdapat masalah komunikasi bahasa."

" Kalau harga tempatan tidak diberi, mereka akan terus jalan. Tetapi ada juga pelanggan yang bayar tambang lebih tinggi daripada yang saya minta," ujar beliau sambil tersenyum.

Ada masanya beliau merasa kasihan dengan sesetengah pelanggan asing terutamanya daripada Australia.

Saiz badan mereka yang besar menyebabkan mereka terpaksa duduk dalam keadaan sempit dalam teksi, kata James lagi kesal kerana tidak dapat berbuat apa-apa dengan saiz ruang teksi tersebut.

Disebalik semua ini, perkara yang paling membimbangkan James dan pemandu teksi lain adalah berlakunya  rompakan.

Kes-kes yang dilaporkan termasuk yang melibatkan kematian membuatkan beliau mengambil langkah berjaga-jaga.

James akan menolak pelanggan yang meminta dihantar ke tempat-tempat tertentu.

" Saya tidak akan memasuki tempat yang gelap terutamanya waktu malam seperti Sembulan Lama, perkampungan bersebelahan 1Borneo, penempatan pelarian di Kinarut dan Kampung Numbok di Suang Parai."

" Pernah juga saya hantar ke penempatan pelarian di Kinarut tetapi waktu siang.

"Itupun hanya di luar sahaja, ' katanya sambil menambah kawasan dalam penempatan itu pernah ditutup laluan kenderaannya oleh budak-budak nakal yang meminta 'cukai' sebelum melepaskan pemandu teksi.

Sebelum mengakhiri perbualan, James mengambil kesempatan meminta pihak berkuasa mendaftarkan teksi-teksi haram atau kereta sapu agar mereka turut merasai susah senang sebagai pemandu teksi berdaftar.

Selain itu, beliau juga meminta pemandu teksi yang memiliki permit agar lebih bertimbang rasa kepada pemandu yang hanya sekadar menyewa permit.

Ini adalah kerana, penyewa permit teksi terpaksa bekerja keras untuk membayar sewa bulanan selain menyara hidup keluarga.

James juga sering menghantar atau mengambil penumpang disini ( sumber: visit-kk-sabah.blogspot.com)

"Pemandu teksi yang mempunyai permit  meminta harga yang lebih tinggi dari sepatutnya.

"Jika pelanggan tidak setuju, mereka pun tidak terima pelanggan itu.

"Oleh itu, yang berbaris dibelakang terpaksa menunggu lama.

"Rezeki itu seolah-olah dihalang. "' Kata James yang boleh dihubungi pada talian 0109595168.

" Yang menyewa permit sudah pasti akan mengambil penumpang itu walau berapa pun bayaran.

"Ini adalah kerana sewa perlu dibayar sedangkan mereka (pemegang permit) tidak perlu membayar sewa bulanan dan 'relax.' " ujar James dengan nada kesal dan sedih sebelum mengakhiri perbualan.

Demikianlah kisah suka duka seorang pemandu teksi di Kota Kinabalu.

Tanjung Aru

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved