Selasa, 14 Februari 2012

10 di semporna - Google Blog Search


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
URL Sumber Asal :-

10 di semporna - Google Blog Search


Kutiyattam <b>di Semporna</b> – Bahagian 2 | Free Malaysia Today

Posted: 12 Feb 2012 07:22 PM PST

Encik Kutty gembira kerana seorang gadis dari Sabah berjumpa beliau untuk mengumpul maklumat mengenai kutiyattam.

COMMENT

Kemudian, nannyar iaitu vokalis akan menyampaikan lagu. Penari mempersembahkan marayilkriya iaitu gabungan nritta dan nrittya terbuka di atas pentas.

Bahagian ini merupakan bahagian cerita dalam persembahan kutiyattam. Biasanya para penontoh sudah sedia mengetahui jalan cerita yang dipersembahkan.

"Memang banyak yang orang Semenanjung tidak tahu tentang penduduk Sabah dan Sarawak," Encik Kutty berkata apabila menyedari bahawa saya sedang termenung jauh.

Beliau mengangkat gelas yang sudah kosong dan berjalan menuju ke dapur. Kepala saya masih tertunduk sambil saya meneliti nota-nota cakar ayam yang sempat saya catatkan sejak dua minggu lalu.

Drama tari kutiyattam dipercayai bermula pada abad kesepuluh dan dipercayai dipersembahkan berasaskan cerita tulisan Tolan. Andaian ini dibuat kerana skrip drama tari yang dihasilkan oleh Tolan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya di Kerala.

Tolan mengambil cerita-cerita daripada epik klasik seperti Ramayana dan Mahabharata serta purana, lalu menghasilkan skrip yang diubahsuai ke bahasa tempatan dan mengikut citarasa semasa.

Hasil pembacaan, saya mendapat tahu bahawa persembahan drama tari itu dilakukan oleh suatu golongan yang membuat persembahan kutiyattam secara sepenuh masa.

Mereka digelar golongan cakyaras yang terdiri daripada cakyar (penari/pelakon lelaki), nambyar (pemain gendang) dan nannyar (vokalis dan penari wanita).

"Posisi asas adalah mandalastanam, sama seperti posisi asas kathakali."

Entah bila Encik Kutty datang semula bersama gelas yang sudah berisi minuman. Beliau segera meletakkan gelas itu di atas meja dan berdiri di tengah-tengah ruang tamu.

"Biar saya tunjukkan," katanya.

Serta-merta, kedua-dua kaki dibengkokkan ke tepi manakala torso (bahagian dari bahu ke pinggang) ditegakkan dan kedua-dua belah lengan diangkat ke paras bahu serta dibengkokkan pada siku supaya tangan menghulur ke arah dada.

Tapak kaki Encik Kutty menyentuh lantai manakala ibu jari kaki diangkat secara penuh paksa supaya tertonjol ke atas.

"Posisi asas ini sama seperti kathakali. Setiap kali selepas melakukan pergerakan dalam tarian, penari kutiyattam akan kembali ke posisi mandalastanam yang juga dikenali sebagai posisi rehat," beliau menjelaskan.

Orang kampung

Saya tersenyum kerana gembira berpeluang melihat sendiri demonstrasi yang dilakukan. Walaupun Encik Kutty bukan penari kutiyattam profesional, beliau ternyata mengambil inisiatif untuk mempelajarinya.

"Kalau bukan kita yang mempelajari, menghargai dan menghayati budaya tradisi nenek-moyang kita, siapa lagi?"

Demikian soalan retorikal yang beliau kemukakan semasa saya dan Hassan mengunjungi beliau minggu lalu.

"Apa pun, saya amat gembira kerana seorang gadis dari Semporna, Sabah sudi datang berjumpa saya untuk mengumpul maklumat mengenai kutiyattam," Encik Kutty mengakui.

Katanya, sebelum ini, beliau hanya mengenali nama Semporna menerusi kumpulan cerpen Sebuah Pekan Bernama Semporna (1982) karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussian.

"Apabila timbul kontroversi berkaitan novel Interlok Edisi Murid pada tahun lalu, saya segera teringat akan pelbagai keunikan yang dipaparkan secara bersahaja oleh pengarang itu menerusi cerpen-cerpennya," kata Encik Kutty yang ternyata fasih bercakap Bahasa Malaysia.

Saya memilih untuk tidak memberi sebarang komen berhubung kontroversi novel itu yang pernah dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia. Pertama, saya belum pernah membacanya. Kedua, saya tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Jadi, apa lagi yang kamu mahu tahu mengenai kutiyattam?" Encik Kutty bertanya sejurus selepas kami sama-sama diam seketika.

"Hmmm. … Bahagian torso penari dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian atas adalah dada dan bahu, manakala bahagian bawah pula perut dan pinggang," saya membaca catatan pada buku nota. "Kedua-dua bahagian ini bergerak secara berasingan. Dalam istilah seni persembahan, dikatakan bahawa torso penari berkerat-kerat atau segmented dan berasingan iaitu isolated."

Encik Kutty ketawa mendengar penerangan saya. Untuk seketika, saya berfikir kemungkinan saya tersilap menyalin nota dari ruang siber.

"Maafkan saya," kata beliau sambil menahan ketawa. "Saya tidak pasti tentang segala istilah teknikal itu. Kamu orang terpelajar tapi saya sekadar orang kampung."

Penggunaan frasa "orang kampung" membuatkan muka saya memerah. Itulah sebenarnya label yang sedang saya cuba tinggalkan dan tanggalkan sejak kecil.

Sebagai individu yang berasal dari sebuah kampung di Sabah, memang saya amat menyedari bagaimana wujud jurang perbezaan yang amat nyata antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Saya mahu turut merasai kemajuan seperti yang dikecapi penduduk di Semenanjung Malaysia.

Satu eskapisme

Jika realiti kelahiran saya sebagai seorang penduduk Sabah daripada etnik Bajau dan Simunul menjadi punca saya masih kekal dilabel sebagai "orang kampung", maka saya bersedia mengubahnya.

Malah, secara realiti, ramai juga sanak-saudara saya di Sabah yang sudah mula mengidentitikan diri mereka sebagai "Melayu" kerana langkah itu memudahkan segala urusan.

Demikianlah antara realiti, persoalan dan dilema yang membelenggu sebahagian rakan-rakan saya di Sabah. Namun, tentu sahaja segala persoalan ini tidak diperkatakan secara terbuka.

Malah, saya sendiri memlilih untuk tidak memikirkan segala isu itu kerana pasti tidak akan ada sebarang penyelesaian positif dalam masa terdekat.

Mungkin minat saya terhadap kutiyattam memberikan semacam eskapisme daripada menghadapi realiti bahawa keluarga saya kurang mengenali budaya tradisi Bajau dan Simunul.

Tentu sahaja pengalaman saya tidak mewakili realiti keseluruhan masyarakat Bajau di Sabah. Akan tetapi, ini suara hati seorang individu yang mahu melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Lalu, sejak seawal usia dua belas tahun, saya cuba menjauhkan diri daripada dilihat sebagai orang kampung. Saya mahu menikmati hidup yang mewah; sekurang-kurangnya dalam realiti imaginasi.

Pada waktu itulah saya berpeluang membaca makalah mengenai kutiyattam dalam sebuah majalah lama (Dewan Budaya, April 1997) di perpustakaan awam. Entah bagaimana hati saya terus tertawan. – Bersambung minggu depan

Bahagian awal:

Kutiyattam di Semporna – Bahagian 1

Uthaya Sankar SB adalah graduan pengajian media dan seni persembahan dari Universiti Malaya. Beliau boleh berlakon tetapi tidak tahu menari.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SABAH

Copyright 2010 All Rights Reserved