Persoalan sama ada Ketua Cabang PKR Tuaran Ansari Abdullah akan membuat kejutan dengan bertanding atas tiket bebas atau parti lain akhirnya terjawab pagi tadi setelah beliau tidak menghantar borang pencalonan ketika proses penamaan calon.

Sebaliknya, anaknya, Erveana Ansari yang juga naib ketua AMK yang bertanding sebagai calon bebas bagi merebut jawatan ahli parlimen kawasan tersebut.

Isu pencalonan Ansari sebagai calon PKR di Tuaran menjadi hangat baru-baru ini setelah beliau diketepikan daripada menjadi calon.

Malahan, daripada tujuh nama yang dikemukan beliau, hanya seorang yang terpilih iaitu Jonathan Yassin yang akan bertanding di parlimen Ranau.

Pada pilihan raya 2004 dahulu, Ansari telah memperoleh 8,555 undi walaupun tewas kepada pencabar beliau ketika itu, Datuk Wilfred Madius Tangau.

Sokongan terhadap beliau semakin meningkat apabila berjaya mendapat sebanyak 11,023 undi pada 2008 tetapi tewas kepada Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing yang ketika itu merupakan calon BN.

Bagaimanapun, tindakan anak gadisnya itu bertanding dilihat oleh sesetengah pihak akan memecahkan undi PKR, kerana pengaruh Ansari.

Empat orang diumumkan sebagai calon bertanding bagi merebut parlimen Tuaran. Mereka ialah Datuk Wilfred Madius Tangau dari Barisan Nasional (Upko), Datuk Seri Panglima Mojilip Bumburing@Wilfred (PKR), Samin @ Jasmin Dulin (Star) dan Erveana (Bebas).